Manipulasi isu kejatuhan kerajaan tidak gugat Jailani - Utusan Malaysia

Manipulasi isu kejatuhan kerajaan tidak gugat Jailani

MUHAMMAD JAILANI KHAMIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Barisan Nasional (BN) dan UMNO tidak tergugat dengan cubaan pihak tertentu yang memanipulasi isu kepim­pinan pentadbiran negeri ini sehingga menjadi faktor kejatuhan kerajaan negeri dan menyaksikan Pilihan Raya Negeri (PRN) terpaksa diadakan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis berkata, walaupun perkara itu menjadi bahan kempen pilihan raya pihak lawan, BN yakin rakyat tahu cerita sebenar.

Beliau selaku Exco Kerajaan Negeri ketika kejadian itu berlaku menegaskan, dakwaan yang dibuat oleh empat bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu tidak pernah berlaku dan ia dicetuskan demi agenda tertentu.

Politik dan pentadbiran kerajaan adalah dua perkara berbeza dan kedua-dua ini tidak pernah melangkaui sehingga mempengaruhi keputusan dibuat oleh Ketua Menteri.

“Saya pelik mengapa isu ini masih dimanipulasi sedangkan ia tidak pernah berlaku. Saya tahulah sebab saya berada dalam mesyuarat Exco,” katanya.

PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran DUN Melaka yang ke-14 pada 4 Oktober seperti mana di bawah Fasal (2) Perkara 19 Perlembagaan Negeri Melaka.

Perkara itu ekoran empat ADUN daripada blok kerajaan menarik sokongan kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md. Ali.

Sementara itu, Muhammad Jailani Khamis menambah meskipun berhadapan tugas getik kerana ditentang empat lawan, beliau yakin dapat mempertahankan kerusi disandangnya sejak 2018 itu.

Katanya lagi, pengundi dapat menilai sendiri usaha dan pencapaian beliau dalam membantu penduduk sepanjang tiga tahun bergelar wakil rakyat.

“Jika dilihat kembali calon-calon bertanding ini, mereka hanya muncul pada musim pilihan raya,’’ katanya yang menang pilihan raya lalu dengan majoriti 1,814 undi. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN