Malaysia-Vietnam terima POA sasar tingkat dagangan - Utusan Malaysia

Malaysia-Vietnam terima POA sasar tingkat dagangan

SAIFUDDIN Abdullah (kiri) ketika bermesyuarat secara maya dengan rakan sejawatannya, Bui Thanh Son dalam Suruhanjaya Bersama Malaysia-Vietnam. - FOTO IHSAN Wisma Putra
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia dan Vietnam bersetuju menerima pakai Pelan Tindakan (POA) bagi pelaksanaan Rangka Kerja Perkongsian Strategik selama tempoh lima tahun sehingga 2025.

Perkara tersebut antara ketetapan dicapai ketika Mesyuarat Keenam Suruhanjaya Bersama Antara Malaysia dan Vietnam secara maya hari ini yang dipengerusikan secara bersama oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah dan rakan sejawatannya, Bui Thanh Son.

Wisma Putra menerusi kenyataan berkata, suruhanjaya tersebut diwujudkan kedua-dua negara pada 1992 susulan pemeteraian Perjanjian Ekonomi, Saintifik dan Teknikal iaitu tiga tahun sebelum Vietnam mula menyertai ASEAN.

Mesyuarat kali pertama suruhanjaya itu dilakukan di Kuala Lumpur pada September 1995 iaitu dua bulan selepas negara komunis tersebut menganggotai blok serantau berkenaan.

Malaysia dan Vietnam menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 dengan kedutaan dibuka di Saigon (kini Ho Chi Minh City) sebelum ditutup apabila wilayah selatan itu ditawan rejim utara.

Ini menyaksikan Malaysia memperakui Vietnam yang bersatu menerusi perjanjian pada 1975 dan kedua-dua negara pun membuka kedutaan di ibu kota masing-masing setahun kemudian.

 Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra memberitahu bahawa, POA yang diterima itu menetapkan sasaran bagi mencapai jumlah dagangan dua hala sebanyak AS$18 bilion menjelang 2025.

“Ke arah sasaran itu, Malaysia dan Vietnam berharap dapat meningkatkan pelaburan dan menggalakkan penceburan bidang baharu oleh entiti bisnes lebih luas,” kata kenyataan itu.

Bahkan ujarnya, mesyuarat berkenaan membuka jalan bagi melonjakkan kerjasama dua hala dengan lebih giat pasca wabak Covid-19 apabila memasuki fasa pemulihan ekonomi.

Wisma Putra menambah, mesyuarat tersebut turut diadakan dalam situasi harmoni yang mencerminkan hubungan rapat telah lama terjalin antara kedua-dua negara serantau berkenaan.

Bahkan kedua-dua menteri luar itu juga saling bertukar-tukar pandangan dan perbincangan serius berhubung pelbagai isu melibatkan hal ehwal rantau Asia Tenggara dan antarabangsa selain menyuarakan komitmen bagi memperkukuhkan kerjasama dua hala termasuk pembukaan semula sempadan, pembangunan vaksin dan industri halal. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya