LRT Ipoh pelan jangka panjang - Utusan Malaysia

LRT Ipoh pelan jangka panjang

RUMAIZI Baharin (tengah) dalam sidang akhbar pada majlis meraikan delegasi Kelab Wartawan Terengganu di Lost World of Tambun di Ipoh semalam. - UTUSAN/LIYANA RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Cadangan mewujudkan perkhidmatan sistem pengangkutan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Ipoh merupakan pelan jangka panjang untuk pembangunan pada masa depan.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, Ipoh tidak boleh ketinggalan berbanding bandar raya lain yang turut merangka rancangan yang sama bagi memajukan infrastruktur masing-masing. 

Menurutnya, walaupun projek itu tidak dilaksanakan dalam masa terdekat tetapi perancangan ke arah itu perlu dilakukan daripada sekarang.

“Ipoh bukanlah sebuah pekan kecil sebaliknya merupakan bandar raya kedua terbesar di utara tanah air selepas Georgetown di Pulau Pinang.

“Tidak salah untuk Ipoh mempunyai perkhidmatan LRT malah kita tidak boleh terlalu ketinggalan, jadi kita perlu merancang keperluan masa depan.

“Pulau Pinang misalnya telah merancang untuk mempunyai perkhidmatan LRT sejak 2010, begitu juga bandar raya lain seperti Iskandar Puteri di Johor, Seremban di Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya. 

Beliau berkata demikian pada majlis meraikan delegasi Kelab Wartawan Terengganu di Lost World of Tambun di sini semalam.

Rumaizi berkata, projek LRT Ipoh hanya akan dibangunkan selepas tahun 2035, iaitu apabila kerja-kerja infrastruktur siap dibina.

“Tempoh 15 tahun menjelang masa itu bukan jangka masa yang panjang, justeru warga Ipoh perlu bersedia untuk menerima kemajuan sistem pengangkutan yang setaraf dengan status bandar raya,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Pelancongan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, kerajaan negeri berhasrat membangunkan sistem pengangkutan di bandar raya ini sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dan menambah baik kemudahan awam pada masa hadapan.

Menurutnya, cadangan itu dan kos pembangunan masih dalam peringkat kajian.

Katanya, sebagai permulaan, hub pengangkutan di sekitar Stesen Keretapi Ipoh, di sini akan dibangunkan bagi tujuan berkenaan yang membabitkan kawasan seluas kira-kira 60 hektar.

Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN