Komponen PH guna logo berasingan tiada kaitan kekalahan dalam PRN Melaka - Utusan Malaysia

Komponen PH guna logo berasingan tiada kaitan kekalahan dalam PRN Melaka

Anthony Loke Siew Fook
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Keputusan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak nanti tiada kena mengena dengan keputusan PRN Melaka Sabtu lalu.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, PH Sarawak sememangnya sudah dijangka membuat keputusan sedemikian berbanding menggunakan logo PH dalam PRN Sarawak.

Jelas beliau, tidak timbul isu parti komponen tidak yakin dengan logo PH sendiri sebaliknya keputusan itu mengambil kira juga kuasa autonomi yang diberikan kepada PH di Sarawak dan Sabah selain keadaan politik yang perlu dihadapi di Sarawak.

“Memang dasar kami berikan kuasa autonomi kepada kepemimpinan parti di Sarawak untuk membuat keputusan, kalau mereka buat keputusan tersebut, kami hormati. Itu keputusan bersama mereka di peringkat Sarawak dan umum mengetahui mereka ada autonomi dari segi dasar dan keputusan politik mereka.

“Keputusan di Sarawak itu sebenarnya tidak ada kena mengena dengan keputusan PRN Melaka, di Melaka sama ada kami kalah atau menang, Sarawak tetap guna logo parti masing-masing.

“Kalau lihat sejarahnya dalam pilihan raya yang lalu juga mereka gunakan logo masing-masing walaupun di Semenanjung kita buat logo bersama,” kata Ahli Parlimen Seremban itu selepas menyerahkan bantuan banjir kepada penduduk yang terjejas di Balai Raya Kampung Sungai Jai, Lenggeng di sini semalam.

Kelmarin PH Sarawak memutuskan setiap parti komponennya akan menggunakan logo masing-masing di setiap kerusi DUN yang ditandingi pada PRN Sarawak pada 18 Disember ini.

Pengerusi PH Sarawak, Chong Chieng Jen, pihaknya turut memutuskan untuk setiap parti komponennya iaitu DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) menentukan calon di kerusi masing-masing yang sudah pun diagihkan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN