Kementerian KWKPK Sarawak sedang giat sedia bantuan guaman kepada golongan wanita - Utusan Malaysia

Kementerian KWKPK Sarawak sedang giat sedia bantuan guaman kepada golongan wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) Sarawak sedang giat mencari cara menyediakan bantuan guaman kepada wanita yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan yang menjalani proses perceraian.

Menterinya, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pada masa ini, terdapat bantuan yang disediakan oleh Jabatan Bantuan Guaman (LAD), namun, ia hanya menampung kes di bawah Mahkamah Sivil dan Syariah.

“Di Sarawak terdapat tiga jenis mahkamah, iaitu Mahkamah Sivil, Syariah dan Mahkamah Adat Bumiputera, tetapi, bantuan guaman oleh LAD tidak memenuhi kes berkaitan perkahwinan atau penceraian di bawah Mahkamah Adat Bumiputera,” kata Fatimah dalam sidang media selepas menghadiri mesyuarat dengan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak di sini hari ini.

Oleh itu, katanya, adalah perlu untuk melihat bagaimana untuk membantu wanita yang memerlukan bantuan tersebut dan menambah bahawa terdapat banyak kes menunggu dan ada yang tidak dapat menerima bantuan yang disedia oleh LAD.

Selain itu, beliau berkata, kementeriannya juga sedang meneliti kes di luar bandar yang memerlukan bantuan undang-undang mengenai undang-undang sivil, syariah dan adat bumiputera.

“Mereka yang datang dari luar bandar memerlukan bantuan yang bukan sahaja dari segi bantuan guaman, tetapi juga bantuan kewangan untuk bayaran pengangkutan serta tempat tinggal,” katanya.

Fatimah berkata perkara berkaitan bantuan guaman untuk wanita antara isu fokus yang dibentangkan oleh Jabatan Wanita dan Keluarga pada mesyuarat hari ini.

Bidang tumpuan lain yang dibentangkan semasa mesyuarat tersebut adalah mengenai usahawan wanita, memastikan pendidikan berkualiti semasa pandemik COVID-19, kesejahteraan sosial, pembasmian kemiskinan, persediaan untuk warga yang semakin tua dan memperkukuh perpaduan.

Menjawab soalan mengenai jumlah kes perceraian di Sarawak yang melebihi 5,000 kes, Fatimah berkata, kementerian sama ada di peringkat persekutuan dan negeri sedang memantau keadaan berkenaan.

Ujarnya, di bawah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak dan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, salah satu bidang tumpuannya ialah perkahwinan dan penceraian dan terdapat kursus berkaitan perkahwinan untuk pasangan memperkukuh perkahwinan dan institusi kekeluargaan.

“Kami memantau statistik setiap tahun dan melihat punca perceraian. Ia adalah kompleks kerana satu punca berkait dengan punca lain yang menyumbang kepada penceraian dan antaranya adalah berkaitan dadah, isu kewangan, tekanan, perkahwinan remaja dan muda,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN