Kaji semula kelulusan projek pangsapuri mewah - CAP - Utusan Malaysia

Kaji semula kelulusan projek pangsapuri mewah – CAP

TAPAK pembinaan pangsapuri mewah yang didakwa menjejaskan kawasan batu jatuh di Tanjung Mali, Langkawi. - MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendesak Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) mengkaji semula kelulusan projek pembinaan pangsapuri mewah berhampiran kawasan ‘dropstone’ atau batu jatuh di Tanjung Mali, Pantai Chenang di sini. 

Pegawai Luar CAP, Zulkifli Yusuf berkata, CAP bimbang projek tersebut akan menjejaskan alam sekitar berdekatan kawasan tapak geowarisan berusia 500 juta tahun di pulau peranginan itu.

Menurutnya, CAP berharap pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri tidak sewenang-wenangnya meluluskan projek pembangunan yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kehidupan penduduk di pulau ini.

“Hidupan laut dan golongan nelayan mungkin terdedah kepada masalah pencemaran laut pada masa akan datang.

“Kajian terperinci kesan pembangunan di kawasan terlibat kepada alam sekitar perlu diberi perhatian serius, selain tempat itu terkenal dengan sesuatu yang unik,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, projek pembangunan itu sewajarnya dihentikan segera bagi membenarkan pihak kerajaan melakukan kajian menyeluruh dan menilai kesan pembangunan tersebut kepada alam sekitar.

Jelasnya, pembangunan pangsapuri mewah setinggi 40 tingkat itu mungkin akan menyebabkan berlaku ancaman hakisan di kawasan terlibat.

Zulkifli menambah, CAP meminta pihak kerajaan dapat mendedahkan perancangan dan pelaksanaan projek pembinaan pangsapuri mewah berkenaan kepada orang ramai.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Laangkawi (LADA), Nasaruddin Abdul Muttalib berkata, projek pembinaan pangsapuri mewah itu didakwa tidak menjejaskan kawasan dikenali ‘dropstone’ atau batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan berusia 500 juta tahun itu

Beliau memberitahu, semakan pihaknya mendapati kawasan projek tersebut terletak  di luar kawasan batu jatuh yang menjadi salah satu ciri keunikan di sini.

Sebelum itu, seorang pengguna Facebook memuat naik gambar yang menunjukkan sebuah bukit dibersihkan untuk pembinaan pangsapuri mewah di Tanjung Mali.

Tapak pembangunan tersebut didakwa  terletak di kawasan batu jatuh yang merupakan tapak geowarisan terpenting dan perlu dipelihara daripada sebarang kemusnahan oleh manusia.

Batu jatuh tersebut merupakan salah satu ciri unik geotapak pulau lagenda itu yang telah diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Tapak pembinaan pangsapuri itu juga terletak tidak jauh dari Pantai Chenang di sini yang merupakan antara kawasan tumpuan pelancong. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya