Jangan pandang rendah calon Bebas - Utusan Malaysia

Jangan pandang rendah calon Bebas

22 calon Bebas akan bertanding dalam PRN Melaka 20 November ini. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jumlah 22 calon Bebas yang bertanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan sahaja dapat menjadi suara alternatif untuk memilih wakil rakyat, namun mampu memecah undi bakal diperoleh parti politik seperti Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Kehadiran mereka yang terdiri daripada pelbagai latar belakang menyaksikan pertembungan sehingga enam penjuru di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penamaan calon pilihan raya itu semalam.

Antara kawasan DUN panas ditandingi calon Bebas ialah Bukit Katil, Gadek, Pengkalan Batu dan Bemban.

Misalnya, sekumpulan calon Bebas membuat keputusan bertanding di bawah Gagasan Bebas Piagam Rakyat dalam pilihan raya itu sekali gus memperlihat penyertaan tersebut mampu memecah undi dalam kalangan parti politik sedia ada memandangkan mereka terdiri daripada anak tempatan dan pejuang masyarakat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pengasas bersama dan penasihat gagasan, Haniff Khatri Abdulla berkata, kehadiran gagasan itu untuk julung kalinya dalam sejarah politik negara bagi memberi mesej kepada rakyat bahawa mereka berbeza daripada landskap politik kepartian.

Jelasnya, mereka boleh menjadi penentu penubuhan Kerajaan Negeri Melaka sekiranya keputusan PRN tergantung dan terdapat calon Bebas atau sekurang-kurangnya satu menang dalam mana-mana kerusi ditandingi.

“Kami boleh jadi king maker kepada sama ada BN, PH atau PN untuk membentuk kerajaan. Namun kita tidak sewenang-wenangnya menerima mereka, tetapi pendirian mereka perlu seiring dengan gagasan kami iaitu mampu memberikan politik khidmat atau tanggungjawab kepada rakyat.

“Di beberapa negara luar seperti India, United Kingdom, calon-calon Bebas adalah lumrah dalam perjalanan politik sebaliknya di Malaysia belum diterima. Jadi kami membentuk satu gagasan agar penyertaan calon Bebas lebih tersusun dan kemas dalam menghadapi pilihan raya,” katanya.

Gagasan Bebas Piagam Rakyat memutuskan mengambil bahagian dalam PRN Melaka yang bermula semalam dan kumpulan itu dibentuk sebagai alternatif kepada rakyat negeri Melaka terutama kepada pengundi yang hilang kepercayaan terhadap politik kepartian sebagai alternatif kepada rakyat negeri Melaka.

Terdahulu, Haniff Khatri memberitahu, gagasan calon Bebas membuat keputusan untuk bertanding secara berkumpulan kerana mempunyai peluang lebih cerah memenangi pilihan raya.

Jelasnya, sejarah membuktikan calon Bebas bergerak secara individu tidak mempunyai peluang kemenangan yang menggalakkan kerana kekurangan fahaman dan penerimaan rakyat sebelum ini.

Perjuangan dan perkhidmatan untuk kesejahteraan rakyat dijangka dan dipercayai lebih kukuh dalam satu bentuk kumpulan.

Ketika ditanya sikap pelbagai pihak memandang rendah kepada calon Bebas, beliau menjelaskan, segalannya terserah kepada pengundi sama ada ingin mengundi mereka dan bakal terjawab pada hari pengundian pada 20 November ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×