Isu ladang khinzir: Kerajaan Negeri Sembilan akan adakan sesi libat urus - Utusan Malaysia

Isu ladang khinzir: Kerajaan Negeri Sembilan akan adakan sesi libat urus

MOHAMAD Rafie Ab Malek (tengah) bersama Yek Diew Ching (kiri) dan Choo Ken Hwa dalam sidang akhbar di Seremban hari ini.-UTUSAN/BADRUL HAFIZAN MAT ISA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan menerusi Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Pig Farming Area (PFA) akan mengadakan sesi libat urus bersama pemilik 374 lot tanah pusat penternakan babi yang terletak di Chuah, Port Dickson itu pada 20 November depan.

Sesi libat urus itu adalah bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas daripada pemilik tanah berkenaan mengenai langkah terbaik yang boleh diambil bagi menyelesaikan permasalahan PFA yang tidak berkesudahan sejak 22 tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr. Mohamad Rafie Ab. Malek berkata, menerusi sesi libat urus tersebut, sekiranya pemilik tanah berpandangan mereka mahu meneruskan penternakan babi tersebut, mereka perlu mematuhi segala syarat yang ditetapkan.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan PFA berkata, syarat berkenaan adalah dengan memastikan penternakan berkenaan dijalankan secara teknologi moden dan tertutup selain memastikan dilaksanakan dengan sistem pelepasan sifar (zero discharged).

“Bagaimanapun, jika mereka mahu meneruskan penternakan babi dengan dua syarat tersebut, ia bukan sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan kos yang sangat tinggi.

“Jika mereka tidak mahu meneruskan penternakan babi, kami ingin mengetahui hasrat dan apa cadangan yang mereka mahu lakukan pada tanah tersebut supaya kerajaan negeri boleh membantu menyelesaikan masalah mereka yang sudah berlarutan sehingga lebih 20 tahun.

“Apa yang penting, kita mahu bergerak ke hadapan supaya tanah tersebut boleh berfungsi dengan kegiatan ekonomi. Kawasan di sekeliling PFA juga sememangnya sudah rancak dengan pembangunan, sama ada mereka mahu bersama dengan pembangunan tersebut, ia perlu dinyatakan dalam sesi libat urus itu nanti,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chuah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal PFA, Datuk Yek Diew Ching dan juga ADUN Lukut, Choo Ken Hwa.

Pembangunan PFA sebelum ini telah diwujudkan pada tahun 1992 oleh Kerajaan Persekutuan sebagai pusat ternakan babi seluas 713 hektar iaitu 312.8 hektar di Kampung Baru Tanah Merah Site A (Zon A) dan seluas 400.5 hektar di Bukit Pelandok (Zon B).

Lot-lot tanah itu telah dijual kepada penternak babi yang berminat dengan harga antara RM100,000 sehingga RM145,000 setiap ekar.

Bagaimanapun, pada tahun 1999, tragedi Virus Nipah telah melanda kawasan itu sehingga menyebabkan ratusan kematian dalam kalangan penduduk dan sekali gus menyebabkan operasi penternakan babi terpaksa dihentikan dan pembinaan infrastruktur PFA yang baru sahaja bermula pada waktu itu juga dihentikan.

Pada tahun 2006, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah membuat keputusan bahawa kawasan penternakan babi berpusat di Zon A tidak lagi sesuai dan tidak dibenarkan untuk penternakan babi kerana tidak mematuhi pembangunan PFA.

Sementara itu, Diew Ching memaklumkan, sesi libat urus itu akan diadakan di Dewan Kampung Baru Tanah Merah Site A, Chuah pada pukul 8 malam.

“Saya harap pihak berkepentingan dan pemilik tanah bagi Zon A dan Zon B dapat menghadiri sesi libat urus tersebut supaya kita boleh cari jalan penyelesaian mengenai permasalahan ini,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN