HLB pupuk kecelikan kewangan, ekosistem tanpa tunai di sekolah - Utusan Malaysia

HLB pupuk kecelikan kewangan, ekosistem tanpa tunai di sekolah

HLB menyediakan peralatan pembayaran tanpa tunai dan perbankan digital kepada pelajar, terminal pembayaran digital di kantin serta penyelesaian koleksi digital kepada sekolah untuk pembayaran yuran. - Ihsan HLB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hong Leong Bank (HLB) melaksanakan program HLB@School yang bertujuan memupuk kecelikan kewangan dalam kalangan pelajar dan mewujudkan ekosistem tanpa tunai di peringkat sekolah rendah.

Dalam melaksanakan program tersebut, HLB bekerjasama dengan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) (SJKC) Kuang Hwa, Kuantan dengan menyediakan sistem pembayaran tanpa tunai yang menerima kad debit sebagai kaedah pembayaran.

Menurut HLB, di bawah program tersebut, pihaknya menyediakan peralatan pembayaran tanpa tunai dan perbankan digital kepada pelajar, terminal pembayaran digital di kantin sekolah serta penyelesaian koleksi digital kepada sekolah untuk pembayaran yuran sekolah.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada usahanya untuk menggalakkan pembayaran tanpa tunai dan penggunaan perbankan digital sebagai sebahagian daripada program kecelikan kewangannya selain sebagai kemahiran hidup buat pelajar sekolah rendah.

Pengurus Besar Perkhidmatan Kewangan Peribadi untuk Deposit dan Digital HLB, Galvin Yeo berkata, pihaknya teruja untuk melaksanakan lebih banyak kerjasama dengan sekolah-sekolah dengan menyediakan perkhidmatan yang boleh memupuk kecelikan kewangan selain kemahiran hidup dalam kalangan pelajar.

“Memperkenalkan pengetahuan tanpa tunai dan perbankan digital di sekolah juga selari dengan perubahan pantas yang berlaku dalam pasaran memandangkan lebih banyak perniagaan dan pengguna berubah ke arah pembayaran tanpa tunai disebabkan pandemik,” katanya dalam kenyataan semalam.

Menurut HLB, lebih 400 pelajar SJKC Kuang Hwa telah mula menggunakan Akaun-i Junior 3 Dalam 1 HLB yang merangkumi akaun simpanan dengan deposit tetap serta kad debit boleh isi semula.

Malah, akaun tersebut turut datang dengan aplikasi HLB Pocket Connect, platform perbankan digital interaktif pertama dalam pasaran untuk natif digital mudan dan ibu bapa mereka.

“Pelajar-pelajar ini boleh menjejak duit poket, perbelanjaan dan simpanan mereka sendiri dengan mudah, memberikan kefahaman yang lebih mendalam tentang nilai wang dan memperkasakan mereka untuk bertanggungjawab dengan kewangan sendiri.

“Begitu juga, ibu bapa boleh mengurus dan memantau akaun bank anak mereka pada bila-bila masa dan dimana-mana sahaja melalui platform perbankan telefon bimbit dan HLB Connect dalam talian,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN