KUANTAN: Enam Mesin Jual Air (MJA) tidak berlesen disita dengan nilai kompaun sebanyak RM14,000 dikeluarkan kepada pemiliknya kerana beroperasi tanpa lesen dan bagi seluruh negeri ini hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP), Datuk Dr. Nor Azimi Yunus berkata, mereka yang terlibat telah melanggar Peraturan 360C (4) Peraturan- Peraturan Makanan 1985.
Menurutnya, operasi tersebut dijalankan secara serentak seluruh negeri ini selama dua hari dan berakhir semalam.
“Operasi tersebut bertujuan memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas MJA yang beroperasi tanpa lesen daripada Kementerian Kesihatan seperti yang ditetapkan.
“Bagi tahun ini sehingga November sebanyak, 32 MJA disita di bawah Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 dan 21 notis Seksyen 32B dengan nilai tawaran kompaun RM42,000 dikeluarkan kepada pemilik MJA kerana beroperasi tanpa lesen dan melanggar Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.
“Menurut Peraturan 360C(4) mana-mana MJA yang didapati beroperasi tanpa lesen boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjara tidak lebih dua tahun, jika sabit kesalahan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Nor Azimi berkata, operasi perlesenan MJA dijalankan untuk memastikan semua mesin jual air mempunyai lesen dan mematuhi undang-undang ditetapkan.
Katanya, ia bertujuan memastikan kualiti air yang dihasilkan dan dijual kepada orang awam adalah selamat.
“Keseluruhannya di negeri ini, terdapat 693 MJA dan daripada jumlah tersebut sebanyak 464 MJA atau 67 peratus mempunyai lesen manakala lebih kurang 229 MJA, 33 peratus dalam proses permohonan mendapatkan lesen yang sah,” katanya. -UTUSAN ONLINE










