SHAH ALAM: Tindakan dua individu disyaki memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol memakan diri apabila ditahan polis dalam operasi khas di sekitar bandar raya ini, malam tadi.
Kesalahan itu dikesan menerusi Op Khas Nombor Pendaftaran dan Pencegahan Jenayah sempena Hari Deepavali bermula kira-kira pukul 9 malam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, operasi itu dijalankan sepasukan 20 pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Katanya, Op berkenaan bertujuan mengesan kesalahan lalu lintas dan individu yang dikehendaki selain kes penyalahgunaan dadah serta memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Sepanjang operasi selama empat jam itu, sebanyak 158 kenderaan dan 192 individu diperiksa.
“Sebanyak 96 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik dan 49 daripadanya melibatkan kesalahan nombor pendaftaran kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Baharudin, dua tangkapan turut dikesan pihaknya berkaitan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Tangkapan itu dilakukan mengikut Seksyen 45 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan bagi keselamatan diri dan pengguna jalan raya lain. -UTUSAN ONLINE










