JASIN: Beberapa calon muda diberikan pertimbangan oleh UMNO Bahagian Jasin bagi mewakili Barisan Nasional (BN) untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penyandang kerusi itu, Datuk Roslan Ahmad berkata, nama Naib Ketua Pemuda UMNO Melaka, Dr. Akmal Saleh dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Khaidhirah Abu Zahar atau Dira antara calon yang disebut-sebut akan diberikan mandat bertanding di situ.
Menurutnya, beliau menyerahkan nasibnya kepada pucuk pimpinan tertinggi parti, sama ada akan dipilih semula atau tidak sebagai calon DUN Merlimau bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.
“Kita telah mencapai kata sepakat, sesiapa sahaja daripada DUN ini boleh menjadi calon memandangkan kita ada dua calon muda seperti Akmal dan Dira serta orang lama iaitu Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang.
“Jika pucuk pimpinan parti mahukan pemimpin muda seperti Akmal dan Dira, mereka adalah calon yang berwibawa. Jika inginkan saya terus menjadi calon di sini, saya bersedia menerimanya dan jika tidak, saya akur dengan keputusan parti.
“Kami semua sudah berikrar jika salah seorang dipilih menjadi calon, kita akan sokong dan membantu untuk memastikan DUN Merlimau terus kekal milik BN,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Roslan mula dipilih sebagai wakil rakyat kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Merlimau pada 2011.
Pada PRK tersebut, beliau yang juga anak kepada bekas ADUN Sungai Rambai, Allahyarham Datuk Ahmad Ithnin menang dengan majoriti 3,643 undian menewaskan calon Pas, Yuhaizad Abdullah.
Beliau mengekalkan kemenangan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) juga menewaskan Yuhaizad dengan majoriti 2,589.
Pada PRU-14 ketika tsunami politik, Roslan sekali lagi mempertahankan kerusi disandangnya, menewaskan Yuhaizad yang beralih ke Pakatan Harapan (PH) dan calon Pas, Abdul Malek Yusof daripada Pas dengan majoriti tipis iaitu 130 undian. – UTUSAN ONLINE










