KUALA LUMPUR: Selepas Pilihan Raya Negeri (PRN), perhatian kini tertumpu pula kepada PRN Sarawak yang tarikhnya akan ditentukan apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat esok
Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak berkuat kuasa 3 November lalu selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menamatkan proklamasi darurat, menuntut kepada pelaksanaan PRN dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubarannya.
Suruhanjaya itu akan membincangkan tarikh-tarikh penting PRN termasuk Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian dan Daftar Pemilih.
Ada yang menggambarkan PRN Sarawak dijangka diadakan pada awal atau pertengahan Disember ini atau paling lewat pun 3 Januari 2022 kerana terikat dengan peruntukan 60 hari selaras dalam Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan.
Jika benar SPR mahu mengadakan pilihan raya negeri dalam tempoh ini, ia tidaklah semudah yang disangka kerana keadaan cuaca hampir di seluruh negara tidak mengizinkan seperti diramalkan Jabatan Meteorologi.
Memetik ramalan jabatan itu menerusi kenyataan diterbitkan pada 28 Oktober lalu, fenomena La-Nina berterusan pada Disember 2021 hingga Februari 2022 dengan kebarangkalian 87 peratus yang menyaksikan lebih banyak hujan akan berlaku dan menyebabkan banjir yang serius termasuk di Sarawak sekali gus menjejaskan perjalanan pilihan raya negeri.
Disember ini, jangkaan hujan diramalkan antara 300 mm hingga 550 mm kecuali Samarahan, Kuching, Sri Aman dan Betong yang diramalkan mencapai purata 700mm. Pada Januari tahun hadapan, hujan dijangka berada pada paras 250mm hingga 500mm kecuali semua kawasan yang disebutkan termasuk Sarikei, Sibu, Kapit dan Bintulu yang dijangka mencapai purata hingga 950mm.
Skala bagi jangkaan hujan melebihi 500 adalah sangat tinggi; 300 hingga 500 (tinggi); 100 hingga 300 (sederhana) dan 0-50 (rendah).
Pada Februari 2022 pula, Sarawak dijangka menerima hujan antara 150 mm hingga 600 mm manakala Mac 2022 bakal menyaksikan hujan berada pada tahap rendah dan sederhana iaitu antara 150mm hingga 250mm. Hal ini menimbulkan persoalan jika waktu yang paling sesuai mengadakan pilihan raya negeri adalah selepas Mac 2022 kerana keadaan lebih terkawal tanpa gangguan cuaca.
Sekiranya SPR tetap mengadakan pilihan raya sebelum 3 Januari 2022 demi menyuburkan proses demokrasi berperlembagaan, suruhanjaya berkenaan perlu memastikan pelaksanaannya berjalan lancar, peratusan undi berada pada tahap memuaskan sekalipun keadaan cuaca menghalang. Besar kemungkinan peratusan mengundi akan menurun kerana rakyat negeri itu tidak dapat membuang undi akibat akses ketersambungan antara kawasan kediaman dan pusat pengundi terputus akibat banjir.
Dengan keadaan hujan yang mengakibatkan sungai-sungai di Sarawak menjadi deras khususnya di kawasan pedalaman, ini pastinya sukar bagi petugas SPR dan pengundi yang bakal berdepan ancaman cuaca dan binatang buas terutama buaya. Menyorot fenomena banjir luar biasa kesan perubahan iklim yang bertembung dengan air pasang besar pada Januari tahun ini sehingga mengundang kehadiran haiwan berkenaan, ia telah menjejaskan sebilangan besar penduduk terutama di Kuching.
Dalam keadaan lain, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini dilaporkan telah mengemukankan rayuan kepada SPR untuk menangguhkan pilihan raya negeri ke tahun hadapan ekoran peningkatan kes positif baharu dan kematian akibat pandemik Covid-19.
Pun begitu, tiada undang-undang yang boleh menghalang SPR daripada berbuat demikian kerana darurat setempat di Sarawak telah ditarik semula dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 tidak berfungsi lagi.
Justeru, apa lagi pilihan SPR ada untuk meneruskan pilihan raya negeri? Adakah Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menasihati Seri Paduka sekali lagi mengisytiharkan darurat ketika DUN Sarawak sudah mencapai tempoh matang lima tahun, 7 Jun lalu?
Apalah nilai Hari Natal untuk rakyat Sarawak pada 25 Disember ini yang sepatutnya diraihkan dengan penuh kemeriahan dan kegembiraan namun terpaksa menempuh pelaksanaan pilihan raya untuk membentuk kerajaan negeri baharu yang belum dapat dipastikan kestabilannya lestari?
Sebanyak 82 kawasan DUN Sarawak yang bakal menyaksikan parti-parti politik kerajaan dan pembangkang negeri bertanding pada pilihan raya, SPR wajar menyeimbangkan antara mengangkat nilai demokrasi, memastikan keselamatan serta kesihatan rakyat negeri ini terjamin sekali gus mengelakkan mereka terjerumus dalam krisis politik yang tidak berkesudahan. – UTUSAN ONLINE










