RAKYAT Melaka sangat sensitif dengan cuaca. Kalau panas terik ‘berbahang’, risau paras air di tiga empangan iaitu Durian Tunggal, Jus dan Asahan kering-kontang.
Maka bercatulah air seperti era pentadbiran kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) bermula awal tahun 2020, sehari mandi sehari tak mandi.
Kalau berdentum guruh di langit pula, tidaklah sesuatu yang indah kepada semua orang terutama mereka yang tinggal di kawasan titik panas banjir seperti Sungai Putat, Durian Tunggal dan beberapa kawasan lagi.
Jika dianalisis ramalan cuaca dikeluarkan Jabatan Meteorologi, hujan dijangka turun di ketiga-tiga daerah iaitu Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin pada pagi hari membuang undi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Suhu minimum adalah 24 darjah Celsius, manakala suhu maksimum pula sekitar 32 darjah Celsius pada waktu siang.
Ribut petir juga dijangka berlaku di satu dua tempat pada waktu petang, iaitu jangka masa pecutan terakhir memastikan pengundi keluar menyatakan mandat.
Untuk hari ini pula, Pusat Operasi Cuaca dan Geofizik Nasional meramalkan akan berlaku hujan di satu dua tempat di kawasan pantai.
Seandainya nasib tidak berapa baik, Melaka mungkin berdepan bencana banjir pada hari pengundian, yang mana ia dilihat mampu menjejaskan emosi pengundi.
Hati mana yang rasa riang apabila melihat perkakasan rumah, barangan elektrik dan harta benda bernilai rosak ditelenggami bah?
Justeru, bakal-bakal Yang Berhormat (YB) berdoalah agar musibah itu tidak berlaku.
Andai terjadi, peratusan mengundi akan merudum ‘seperti jatuh ditimpa tangga’, tidak sebagaimana diharapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu sasaran 70 peratus. – UTUSAN ONLINE










