PETALING JAYA: Pengurusan tertinggi setiap agensi penguatkuasaan di bawah seliaan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) disyorkan lebih terbuka mendedahkan isu salah laku membabitkan warga kerja mereka.
Meskipun pendedahan itu disifatkan seolah-olah membuka ‘pekung’ sendiri tetapi bagi Pengerusi EAIC, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan berkata, tindakan itu wajar sekali gus menunjukkan agensi-agensi penguat kuasa tidak memilih bulu dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan.
Malah, tegas beliau kepada Utusan Malaysia, langkah seperti itu juga dapat dijadikan sebagai pengajaran dan menimbulkan rasa takut kepada mana-mana anggota penguat kuasa daripada melakukan salah laku.
“Apa yang biasa berlaku ialah majoriti daripada mereka memilih untuk berdiam diri kerana khuatir masalah itu memberi kesan buruk kepada jabatan atau agensi mereka.
“Kenapa perlu kita sembunyikan, sepatutnya setiap kesalahan perlu didedahkan dan diambil tindakan sekurang-kurangnya dapat memberi mesej umum, bahawa tiada kompromi membabitkan salah laku dan sekiranya berlaku tindakan akan diambil.
“Namun begitu, setiap kesalahan yang diadukan bagaimanapun perlulah berasas dan melalui proses siasatan yang telus serta adil agar tidak melakukan penganiayaan terhadap mana-mana pihak,” katanya ketika ditemui semalam.
Dalam pada itu, Mohd. Sidek berkata, pertukaran penempatan penguat kuasa dalam tempoh tertentu bagi mengelak terdedah kepada isu salah laku dilihat tidak begitu relevan kerana tidak mustahil kesalahan sama dilakukan mereka di jabatan atau bahagian lain.
“Budaya macam ini sepatutnya kita pancung (hentikan). Kita tidak boleh setiap kali mereka buat kesalahan, ambil pendekatan tukar mereka kerana mereka akan buat kesalahan sama di tempat lain.
“Apa yang sepatutnya dilakukan adalah buang atau gantung tugas mereka jika mereka benar-benar didapati bersalah melakukan salah laku. Perlu buat keputusan betul-betul mengikut ‘rules of law’ bukan penganiayaan,” jelasnya.
Mengenai dakwaan bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Abdul Hamid Bador mengenai kewujudan kartel Polis Diraja Malaysia yang melakukan ‘kerja kotor’ dalam pasukan keselamatan itu, Mohd. Sidek menjelaskan, siasatan masih dijalankan.
Malah, kata beliau, satu pertemuan di antara EAIC dan Abdul Hamid juga telah diadakan bagi mendapatkan maklumat terperinci. – UTUSAN










