PADANG TERAP: Seramai 74,472 calon yang memohon memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi 2022 boleh menyemak kelayakan untuk menduduki ujian khas sebelum dipilih memasuki sekolah berasrama tersebut bermula 29 November 2021
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sesi ujian khas tersebut melibatkan Ujian Kecenderungan Kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (UKKM), Ujian Khas Ulul Albab dan Ujian Teknikal bagi Tingkatan Satu dan Empat tahun 2022.
Menurutnya, ujian khas itu akan bermula pada 3 Disember ini bagi calon yang berada di negeri Kedah, Kelantan, Johor dan Terengganu, manakala bagi calon dari negeri yang lain akan bermula pada 4 Disember 2021.
Katanya, Mara menerima sejumlah 57,122 permohonan untuk ke tingkatan 1 dan 17,350 permohonan ke tingkatan 4 bagi tahun 2022.
“Mereka ini akan dipanggil untuk menduduki ujian secara berperingkat sehingga 30 Januari 2022.
“Semakan tarikh, masa dan tempat ujian ini boleh disemak secara dalam talian bermula 29 November 2021 pada pukul 10 pagi melalui Portal Rasmi Mara,” katanya
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Buku dan Topi Keledar Sumbangan Yayasan Perintis Malaysia di Pejabat Pendidikan Daerah Padang Terap di Kuala Nerang di sini hari ini.
Menurut Mahdzir, pemohon akan menerima notifikasi menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) atau e-mail yang telah didaftarkan semasa permohonan.
“Calon tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pertukaran tarikh, masa dan tempat ujian yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Menurut Mahdzir, calon yang terlibat menduduki ujian khas tersebut di 61 buah pusat ujian terpilih yang melibatkan 53 buah MRSM di seluruh negara.
Tambahnya, ujian khas itu juga diadakan di lapan buah Institusi Pendidikan Mara (IPMA) yang lain di Selangor dan Negeri Sembilan.
Jelasnya, calon UKKM akan dinilai berdasarkan subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Keperibadian.
“Saya mohon semua calon bersedia dan membuat persiapan yang lengkap menjelang hari peperiksaan dan mendoakan ujian ini berjalan dengan lancar,” katanya.
Sebarang maklumat serta informasi terkini, sila layari portal rasmi Mara di pautan www.mara.gov.my atau mengikuti laman media sosial rasmi Mara melalui Facebook, Instagram dan Twitter. -UTUSAN ONLINE