GEORGETOWN: Warga asing yang telah menerima vaksin Covid-19 lengkap dibenarkan menunaikan solat Jumaat dan solat fardu di masjid dan surau di Pulau Pinang mulai hari ini.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Mohd. Zakuan Zakaria berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira situasi semasa, namun, kadar bilangan jemaah masih kekal mengikut keluasan ruang solat masjid dan surau.
“Seperti mana makluman pada 17 September lalu, JHEAIPP telah memberi kelonggaran khususnya pertambahan bilangan jemaah yang dibenarkan untuk solat Jumaat, solat fardu dan solat jenazah.
“Setelah mengambil kira situasi semasa berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, maka, dibuat beberapa ketetapan antaranya warga asing dibenarkan untuk menunaikan solat dengan syarat telah menerima vaksin lengkap,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zakuan, kuliah Subuh dibenarkan dengan kadar 45 minit sahaja setelah selesai solat masing-masing atau di tempat yang ditandakan.
Bagaimanapun, katanya, program ceramah dan majlis rasmi di masjid atau surau serta program gotong-royong masih tidak dibenarkan.
“Semua mesyuarat bersemuka di masjid dan surau hendaklah ditangguhkan dan hanya mesyuarat secara maya sahaja dibenarkan,” katanya.
Tambahnya, imam dan khatib jemputan juga tidak dibenarkan untuk memimpin solat dan menyampaikan khutbah Jumaat.
“Kadar bilangan jemaah bagi solat jenazah yang dibenarkan adalah mengikut kapasiti sepertimana solat Jumaat dan fardu.
“Kuliah, kelas pengajian dan bacaan Yassin adalah dibenarkan pada setiap hari selepas solat fardu Maghrib hingga masuk waktu Isyak, namun, hendaklah kekal berada di tempat solat masing-masing atau tempat ditandakan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










