UPSI diiktiraf kedudukan 176-200 universiti pendidikan dunia - Utusan Malaysia

UPSI diiktiraf kedudukan 176-200 universiti pendidikan dunia

MD. Amin Md. Taff (kiri) bersama Azmi Mohamed di Pejabat Naib Canselor UPSI Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim hari ini. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sekali lagi mencipta kejayaan pada tahun ini apabila diumumkan berada pada kedudukan 176-200 di dunia dalam bidang pendidikan yang diumumkan oleh Times Higher Education (THE) hari ini.

Pengumuman itu melakar kejayaan yang membanggakan seluruh warga UPSI yang sebelum ini disenaraikan antara universiti yang menduduki  kedudukan 801-1000 THE World University Rankings 2022 iaitu antara lapan universiti yang teratas di Malaysia. 

Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff melahirkan kegembiraan dan kesyukuran dengan kejayaan yang dianggapnya satu pengiktirafan kepada UPSI sebagai universiti berteraskan pendidikan yang berusia 100 tahun. 

“Kejayaan ini bukanlah sesuatu yang mudah  kerana ia merupakan hasil pengorbanan, usaha dan kerjasama oleh seluruh warga UPSI melalui ukhuwah yang dijalinkan sesama mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut diharap akan terus memacu UPSI menuju kecemerlangan dalam menyumbang kemajuan bidang pendidikan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua warga UPSI yang bekerja keras bersama-sama berusaha demi mengungguli satu-satunya universiti pendidikan tanah air di persada antarabangsa,” katanya.

Jelas beliau, tahun ini UPSI mula menggerakkan sambutan 100 tahun dan acara kemuncaknya pada 29 November tahun depan. 

“Bersama semangat menyambut ulang tahun ke-100, UPSI yang mengambil kira zaman Sultan Idris Training College (SITC), kita berharap akan lebih banyak lagi kejayaan dicapai pada tahun ini dan tahun depan,” ujarnya.   

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perancangan Korporat UPSI, Prof. Madya Dr. Azmi Mohamed menganggap kejayaan itu menyerlahkan keterlihatan  pencapaian dan peranan yang dimainkan universiti tersebut terutama dalam bidang pendidikan.

Beliau berkata, inisiatif yang disumbangkan semua kakitangan dalam pelbagai sudut sangat penting sekali gus mendorong kepada kejayaan dan pencapaian yang selari dengan Pelan Strategik UPSI 2021-2025. 

“Pengiktirafan ini akan menjadi pemangkin semangat kepada warga UPSI yang bakal menyambut dan merayakan sambutan 100 tahun pada 20 November tahun 2022, “ katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN