UPSI bantu negara lahirkan atlet  - Utusan Malaysia

UPSI bantu negara lahirkan atlet 

NORAINI Ahmad (dua dari kanan) dan Md. Amin Md. Taf (kiri) ketika menyertai senamrobik sempena sambutan Hari Sukan Negara peringkat KPT di Putrajaya semalam. - UTUSAN/IHSAN UPSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menyokong usaha kerajaan membudayakan sukan demi kesejahteraan dan perpaduan rakyat sebagai strategi membina negara makmur, harmoni dan inklusif.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff berkata, menerusi Dasar Sukan Negara, budaya sukan dalam kalangan masyarakat khususnya mahasiswa bukan saja dapat memupuk sikap berdisiplin dan bekerjasama, tetapi, mampu menyumbang perkembangan sukan dengan lebih mapan.

Menurutnya, penganjuran Hari Sukan Negara setiap tahun bukan saja dapat membentuk sahsiah pelajar, malah, ia juga dapat meningkatkan potensi perkembangan bagi melahirkan atlet dalam kalangan mahasiswa. 

“UPSI juga memiliki program pengajian sukan dan pelbagai kemudahan yang menjadi pemangkin dalam membantu negara melahirkan atlet bertaraf nasional dan antarabangsa selain memartabat sukan menerusi bidang pendidikan. 

“Nilai murni dengan gaya hidup aktif dapat memberi fokus kepada pembangunan sukan dengan mewujudkan UPSI Sport City dan UPSI Adventur Park untuk kegunaan pelajar dan warganya.

“Agensi-agensi kerajaan yang berminat untuk mendapatkan khidmat nasihat dan kepakaran dalam bidang sukan juga boleh menggunakan fasiliti di sini,” katanya ketika menyertai program Hari Sukan Negara 2021 @ MAKSAK-KPT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 di Putrajaya semalam.

Hadir sama, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, warga KPT serta institusi pengajian tinggi.

Program anjuran Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan KPT itu turut menganjurkan acara senamrobik dan brisk walk sejauh lima kilometer.

Md. Amin optimis UPSI mampu melahirkan graduan-graduan pendidikan dalam bidang sukan kerana memiliki ramai bekas atlet kebangsaan yang bertugas sebagai tenaga pengajar di Fakulti Sains Sukan dan Kejurulatihan (FSSKj) selain pengurusan Pusat Sukan dalam kalangan atlet sendiri.

Menurutnya, selain kelayakan akademik, pengalaman atlet penting dalam perkongsian ilmu bersama mahasiswa yang akan melatih anak didik di sekolah untuk menjadi atlet yang berjaya.

“Sudah pasti ada strategi, rahsia dan petua kecemerlangan atlet-atlet kebangsaan yang dapat memberi bimbingan ke arah perkembangan pendidikan sukan sukan tanah air,” katanya. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN