Tun M didakwa sorok hakikat sebenar - Utusan Malaysia

Tun M didakwa sorok hakikat sebenar

MOHAMED APANDI ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tan Sri Mohamed Apandi Ali mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyembunyikan hakikat sebenar bahawa status pemilikan Pulau Batu Puteh masih boleh dicabar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Peguam Negara itu berkata, walaupun Malaysia sudah berjanji dengan Singapura untuk tidak membuat rayuan selepas Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) membuat keputusan, itu tidak bermakna rayuan langsung tidak boleh dilakukan.

Malah katanya, statut ICJ dengan jelas menerangkan bahawa mereka tidak menghalang mana-mana pihak untuk membuat rayuan terhadap keputusan asal.

“Memanglah Malaysia dan Singapura bersetuju dengan keputusan ICJ, tetapi peruntukan artikel dalam status ICJ sendiri menyebut, jikalau tidak berpuas hati dengan keputusan itu, bolehlah membuat permohonan dan mengkaji semula keputusan itu dalam tempoh 10 tahun.

“Jadi, menurut undang-undang itu sendiri kita boleh membuat semakan semula jika ada keterangan atau bukti baharu,” katanya.

Bagaimanapun, Apandi yang mempengerusikan Pasukan Petugas Khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berhubung Pulau Batu Puteh hanya akan membuat kenyataan mengenai perkembangan terkini selepas persidangan diadakan secara rasmi.

Kelmarin, Dr. Mahathir mengatakan bahawa Malaysia dan Singapura sudah berjanji untuk menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ.

“Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad. Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji,” kata Dr. Mahathir.

Dalam pada itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin turut mempersoalkan mengapa Mahathir ketika menerajui kerajaan PH tidak meneruskan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh meskipun terdapat bukti yang jelas.

“Dua daripada bukti baharu yang ditemui adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008. Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaannya.

“Dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah mengganggap Pulau Batu Puteh sebahagian daripada ingapura. Dokumen kedua menunjukkan Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor dan dokumen terakhir menunjukkan peta-peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh,” katanya.

Justeru, beliau berkata, dokumen-dokumen itu jelas menunjukkan Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah Singapura.

“Sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia. Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan proses semakan tersebut,’’ katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN