KLUANG: Demi mendidik anak bangsa, Allahyarham Hatta Kaspin atau dikenali Ustaz Hatta, 50, tetap hadir mengajar di sekolah walaupun berkerusi roda selepas kedua-dua kakinya terpaksa dipotong.
Bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kg. Tengah, Hasnah Abd. Ghani, 58, berkata, itu antara pengorbanan Ustaz Hatta yang tidak akan dilupakan sepanjang mengenalinya.
Hasnah berkata, Ustaz Hatta tidak pernah melupakan tanggungjawabnya sebagai pendidik dan sentiasa berusaha memberikan khidmat terbaik buat anak-anak walaupun pergerakannya agak terbatas.
“Sebelum ini, arwah akan dihantar oleh ibu dan bapanya yang sudah uzur untuk ke sekolah. Namun, beberapa bulan sebelum meninggal dunia, dia sempat mengubahsuai kereta mengikut keadaan fizikal semasanya.
“Arwah akhirnya berjaya untuk memandu sendiri ke sekolah setiap hari. Itu membuktikan kesungguhannya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai guru di sini.
“Memandangkan keadaan dia agak terbatas, kami di sekolah tempatkan bilik mengajarnya di dewan dan murid-murid akan ke sana untuk mengikuti sesi pembelajaran bersama Ustaz Hatta,” katanya di sini hari ini.
Allahyarham Ustaz Hatta yang meninggal dunia akibat kegagalan organ pada 28 Januari lalu meninggalkan dua orang anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, Ismanorbiha Takati iaitu Hafizul Hazeq, 13 dan Hafizul Hares, 10.
Semalam, Pegawai Pendidikan Daerah Kluang, Md. Said Md. Daimon menyerahkan Khairat Kematian kepada anak arwah sebanyak RM27,004.18 di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kluang.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Datuk Wan Munadi Wan Mamat dan Guru Besar baharu sekolah itu yang menggantikan Hasnah, Norizam Mohd. Junid.
Dalam majlis penyerahan itu, Md. Said yang juga Yang Dipertua Majlis PPD Kebangsaan turut menyerahkan borang penyertaan keahlian Skim Emas beliau kepada Wan Munadi sebagai tanda sokongan terhadap skim yang memberi perlindungan kepada warga pendidik sehingga mencapai umur 80 tahun.

Said Md. Daimon di PPD Kluang, Johor.
Sementara itu, Hasnah turut mengakui pemergian Ustaz Hatta sebagai satu kehilangan besar buat warga SK Seri Kg. Tengah memandangkan sehingga hari ini masih belum ada pengganti guru bagi subjek Bahasa Arab yang diajarnya.
“Sejujurnya, kami memang agak terkejut dengan pemergiannya awal tahun ini iaitu sebulan sebelum saya bersara tempoh hari. Memang kami tahu dia ada sakit kencing manis, tetapi keadaannya tidak menunjukkan dia begitu teruk sehingga boleh terus mengajar seperti biasa. Namun sudah tertulis, ajalnya sudah tiba,” ujarnya.
Dalam pada itu kata Hasnah, Ustaz Hatta pernah menerima sumbangan dua kaki palsu daripada YGMB pada tahun 2018. -UTUSAN ONLINE