Sungai Permatang Pasir tercemar, pemilik ladang diberi notis - Utusan Malaysia

Sungai Permatang Pasir tercemar, pemilik ladang diberi notis

PETUGAS LUAS membuat siasatan di ladang penternakan lembu dan biri-biri di Jalan Sungai Ingat Kampung Bandar Banting di Kuala Langat, Selangor susulan aduan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Sebuah ladang ternakan lembu dan kambing biri-biri dekat Jalan Sungai Ingat, Kampung Bandar Banting di sini dikenakan tindakan kerana menyebabkan pencemaran Sungai Permatang Pasir.

Tindakan pemberian Notis Pemberitahuan Kesalahan diambil terhadap penternak haiwan berkenaan susulan siasatan dan aduan diterima daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 30 September lalu.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dalam kenyataan memberitahu, notis berkenaan juga diberikan kerana penternak melepaskan bahan daripada Aktiviti Berjadual (Penternakan Lembu & Biri-biri) ke dalam sungai.

“Notis dikeluarkan di bawah Peraturan 6 (1) atas kesalahan memasukkan atau melepaskan Bahan Pencemar dan di bawah Seksyen 107(b) atas kesalahan menjalankan aktiviti abstraksi air (air permukaan),” katanya.

Susulan itu, penternak diarah melakukan pengubahsuaian terhadap ladangnya termasuk membuat kerja penyelenggaraan bagi memastikan tiada bahan pencemar keluar dari kawasan terbabit.

“LUAS telah mengarahkan penternak menjalankan penyelenggaraan di tiga kolam kumbahan dan meninggikan lagi ban di antara kolam.

“JPV Kuala Langat juga telah mengarahkan penternak menggunakan produk ‘Effective Microbes’ (EM) dalam air minuman dan makanan ternakan, kandang ternakan serta kolam kumbahan bagi meningkatkan penguraian sisa seterusnya boleh mengurangkan pencemaran air dan bau,” jelasnya.

Orang awam dimohon untuk melaporkan segera kepada LUAS sebarang aktiviti mencurigakan yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air agar insiden pencemaran dapat dielakkan.

Untuk makluman dalam tempoh seminggu dua batang sungai dilaporkan tercemar apabila Utusan Malaysia pada Isnin lalu melaporkan berlaku kebocoran minyak di Sungai Balak di Balakong, Selangor menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tampoi ditutup sementara.

Bagaimanapun kerja pembersihan dilakukan pihak LUAS dan agensi berkaitan apabila 50 Oil Boom dan Oil Pad diletakkan bagi memerangkap minyak yang tumpah ke dalam sungai dan susulan itu juga kilang yang menyebabkan pencemaran itu digantung operasi dan dikenakan kompaun. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN