SUK rayu Norhizam pulangkan aset kerajaan negeri - Utusan Malaysia

SUK rayu Norhizam pulangkan aset kerajaan negeri

KAMEL Mohamad ketika sidang akhbar selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Japerun Serkam, Jasin, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka merayu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee memulangkan semula aset kerajaan yang diperolehnya semasa menjawat jawatan Exco.

 

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, pemulangan itu selari dengan tindakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri itu yang membuat keputusan menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Isnin lalu. 

 

“Berbekalkan semangat yang sama dengan keputusan yang dibuat oleh Norhizam, saya merayu dan memohon kerjasama mantan Exco menyerahkan semula aset kerajaan.

 

“Dalam hal ini, aset tersebut merupakan kereta rasmi yang sebelum ini diamanahkan oleh kerajaan negeri kepada beliau selagi memegang jawatan sebagai ADUN Melaka,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas perasmian Hari Sukan Negara peringkat negeri di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Serkam di sini hari ini. 

 

Semalam Utusan Online melaporkan, Norhizam yang juga bekas Timbalan Pengerusi DAP Melaka berkata, hanya akan memulangkan semula semua aset kerajaan negeri jika 27 wakil rakyat yang lain turut melakukan perkara sama. 

 

Katanya, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka sudah dibubarkan, tetapi beliau berasa hairan kerana  hanya tiga Exco termasuk dirinya diarahkan berbuat demikian.

 

Mengulas lanjut, Kamel menambah, tindakan Norhizam yang berkeras enggan memulangkan aset telah mengganggu fokus serta usaha-usaha dilakukan kerajaan negeri dalam mensejahterakan ‘keluarga Melaka’. 

 

“Lebih cepat Datuk Norhizam kembalikan kereta rasmi, maka lebih cepatlah saya bersama-sama penjawat awam dapat fokus kepada usaha mensejahterakan rakyat, merancakkan ekonomi Melaka. 

 

“Lebih banyak tenaga dan masa kami dapat ditumpukan kepada usaha-usaha kesiapsiagaan untuk menerima kembali pelancong, usaha mengembalikan keyakinan pelabur dan sebagainya,” jelasnya. 

Ujarnya lagi, setakat hari ini, hanya ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron sahaja telah memulangkan aset kerajaan pada Khamis lalu, manakala ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad pula meminta untuk menangguhkan pemulangan aset sehingga Isnin ini.  -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN