PASIR MAS: Polis menjumpai 5,000 biji pil kuda, 300 gram syabu serta seliter air ketum yang disorokkan dalam timbunan daun kering di tepi pokok pisang berhampiran sebuah bengkel motosikal di Kampung Kelar, di sini Khamis lalu.
Kesemua dadah itu ditemukan selepas polis menahan enam lelaki berusia 27 hingga 40 tahun dalam serbuan kira-kira pukul 6 petang.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas Asisten, Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, semasa serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), empat daripada suspek terbabit berada dalam keadaan mencurigakan di bengkel tersebut.
“Pemeriksaan lanjut menjumpai satu balang kaca mengandungi ketulan kristal disyaki dadah bersama satu tiub straw berisi objek sama serta alat-alat lain yang digunakan untuk menghisap serta membungkus bahan terlarang itu.
“Semasa pemeriksaan dilakukan, dua lagi suspek telah datang ke bengkel tersebut dan turut ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Nasaruddin memberitahu, pemeriksaan diteruskan ke bahagian belakang bengkel sambil disaksikan oleh kesemua suspek dan telah menjumpai barang kes yang disorokkan di bawah timbunan daun kering di tepi pokok pisang.
Katanya, dalam serbuan itu polis turut menyita wang tunai berjumlah RM5,000, dua buah motosikal, sebuah kereta Perodua Kelisa serta sebuah kereta jenis BMW.
“Hasil soal siasat, kesemua suspek tidak mengaku semua barang yang dirampas adalah milik mereka. Siasatan lanjut akan dijalankan untuk mengenal pasti punca bekalan dadah tersebut.
“Empat dari enam suspek yang ditahan itu positif dadah jenis Methamphetamine,” ujarnya sambil memberitahu, tiga daripada suspek turut didapati mempunyai rekod jenayah lampau.
Kes disisat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952. -UTUSAN ONLINE