SHAH ALAM: Taktik satu sindiket pengedaran dadah yang menggunakan kenderaan sewa sejak enam bulan lalu tumpas dengan tertangkapnya lapan suspek termasuk dua pasangan suami isteri di sekitar Lembah Klang, baru-baru ini.
Sindiket itu dipercayai akan meninggalkan kenderaan di sesebuah lokasi sebelum mengarahkan ahlinya mengambil dadah berkenaan bagi mengelak dihidu pihak berkuasa.
Kegiatan haram itu bagaimanapun terbongkar apabila dikesan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Selangor yang merampas 63.1 kilogram (kg) methamphetamine bernilai RM2.5 juta di dalam sebuah kereta pada 23 September lalu.
Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Sharul Lalli Masduki berkata, serbuan hasil maklumat dan risikan itu dilakukan di kawasan parkir sebuah pasar raya di Seri Kembangan, kira-kira pukul 6.30 petang dan memaklumkan pemeriksaan lanjut ke atas kereta Hyundai Ionic itu menemui sebanyak 62 bungkusan yang berisi dadah.
“Rampasan itu kemudian membawa kepada penahanan dua suspek termasuk wanita warga Vietnam di sebuah kondominium di Brickfields.
“Selain itu, lima lelaki dan seorang wanita Thailand juga dicekup dalam tiga serbuan berasingan di sekitar Dang Wangi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.
Turut hadir, Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A. Anbalagan.
Jelas Sharul Lalli, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM126,000 dan lima kenderaan lain untuk tindakan lanjut.
“Semakan mendapati lima suspek memiliki rekod jenayah lampau termasuk dadah dan tiga positif methamphetamine.
“Kesemua suspek termasuk dua pasangan suami isteri itu direman sehingga 4 Oktober depan bagi membantu siasatan,” ujarnya.
Tambah beliau, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam pada itu, Sharul Lalli berkata, siasatan pihaknya mendapati ahli sindiket berkenaan dipercayai turut tidak mengenali antara satu sama lain.
“Keadaan itu berikutan individu berbeza akan meletakkan kenderaan sewa dan mengambil dadah berkenaan. Mereka dikatakan hanya berkomunikasi melalui telefon bimbit dan medium sosial lain,” katanya. -UTUSAN ONLINE