Sime Darby Property lantik dua pengarah baharu - Utusan Malaysia

Sime Darby Property lantik dua pengarah baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad (Sime Darby) melantik Datuk Hamidah Naziadin dan Dr. Lisa Lim Poh Lin sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif berkuat kuasa semalam.

Pengerusi Sime Darby, Rizal Rickman Ramli berkata, pelantikan Hamidah dan Lisa ke dalam Lembaga Pengarah Hartanah akan meluaskan kepakaran untuk memacu aspirasi masa depan syarikat.

“Lembaga akan mendapat manfaat daripada pengetahuan luas dan perspektif unik mereka dalam modal insan pembangunan dan kelestarian dalam membimbing syarikat menerusi perjalanan transformasinya,” katanya dalam kenyataan.

Hamidah mempunyai lebih dari 30 tahun pengalaman dalam sumber manusia strategik dan kepimpinan dalam sektor perkhidmatan kewangan di seluruh Malaysia dan ASEAN.

Beliau telah berkhidmat dengan CIMB Group sebagai Ketua Pegawai Kumpulannya dan bertanggungjawab memimpin strategi untuk menarik, membangun dan mengekalkan bakat, memupuk tenaga kerja yang mantap serta meningkatkan pengalaman pekerja melalui inovasi teknologi.

Pencapaian utamanya termasuk menyusun strategi penyatuan sumber dalam penggabungan dan pengambilalihan yang berjaya di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Tenggara dan Asia Pasifik serta melaksanakan strategi program sumber manusia.

Selain itu, Hamidah juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Foundation dari Mei 2016 hingga Oktober 2020 di mana beliau bertanggungjawab dalam memimpin agenda tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat dengan pihak berkepentingan dalaman dan luaran, yang tertumpu kepada peningkatan pembangunan masyarakat, sukan dan pendidikan.

Kini, beliau merupakan Pengarah Bukan Eksekutif Bebas Maxis Berhad dan Nestle (Malaysia) Berhad selain merupakan ahli lembaga Majlis Sukan Negara Malaysia.

Sementara itu, Lisa pula mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam perundingan pengurusan, penyelidikan akademik dan pengurusan pelaburan. Kini, beliau merupakan Rakan Kongsi dan Pengurus Dana Prusik Investments Management LLP.

Sebelum ini, Lisa merupakan Pengurus Dana di Columbia Threadneedle, London, di mana beliau juga merupakan Ketua Penyelidik Telekomunikasi Global.

Lisa memulakan kerjayanya sebagai Penganalisis Perbankan Pelaburan di Morgan Stanley Dean Witter sebelum beliau bekerja sebagai penasihat di Boston Consulting Group.

Sebelum menyertai industri pengurusan pelaburan, Lisa menceburi bidang penyelidikan akademik dan merupakan Penolong Profesor di Universiti Nasional Singapura.  – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN