TUMPAT: Kenaikan harga ayam antara RM9 hingga RM10 sekilogram di pasaran tempatan dipercayai antara faktor berlakunya kegiatan penyeludupan ayam hidup dari Thailand menerusi pangkalan haram di sekitar Sungai Golok.
Difahamkan, harga ayam di Thailand ketika ini jauh lebih murah iaitu sekitar RM5 hingga RM6 sekilogram, mendorong penyeludup berusaha membawa masuk lebih banyak bekalan ayam hidup ke negara ini bagi mengaut keuntungan.
Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Superintendan Mohd. Razlin Abdul Manaf berkata, dalam tempoh lima hari pertama bulan ini, sudah tiga kes penyeludupan ayam hidup berjaya dipatahkan pihaknya.
Menurutnya, kejayaan itu adalah hasil kerjasama PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor dengan Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Bersepadu di sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini.
“Kes terbaharu pada pukul 12.30 tengah malam tadi apabila PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menahan sebuah lori dipandu lelaki warga tempatan di Jalan Jubakar. Hasil pemeriksaan ke atas lori itu telah menjumpai 1,980 ayam hidup dipercayai diseludup dari negara jiran.
“Berdasarkan pasaran semasa, kesemua ayam hidup tersebut dianggarkan bernilai RM60,192,” katanya dalam sidang akhbar di Markas Taktikal PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Razlin berkata, pemandu lori berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 11 (1) Akta Pemeriksaan dan Kuarantin Malaysia 2011.
Beliau dalam pada itu memberitahu, dua lagi kes penyeludupan ayam hidup berjaya dipatahkan pasukan keselamatan dalam operasi berasingan di sekitar Pengkalan Kubor, di sini pada 1 Oktober lalu..
“Serbuan pertama di pangkalan haram Pok Leh, Tualang pada pukul 1 pagi, kita telah merampas 1,980 ekor ayam hidup dan menahan tiga lelaki untuk membantu siasatan.
“Serbuan kedua pula di Jalan Simpangan, Tumpat, sebanyak 1,500 ekor ayam hidup berjaya dirampas selepas menahan sebuah lori yang dipandu seorang lelaki warga tempatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE










