``Saya didakwa kerana pertemuan yang tidak sampai lima minit'' - Utusan Malaysia

“Saya didakwa kerana pertemuan yang tidak sampai lima minit”

ROSMAH Mansor hadir bagi memberi keterangan dalam prosiding membela diri terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini, hari ini. UTUSAN/ FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor meluahkan kesedihannya di Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau didakwa atas pertuduhan rasuah hanya kerana pertemuan lima minit yang tidak diatur mahupun dipersetujuinya.

Isteri bekas Perdana Menteri ketika membacakan pernyataan pembelaan berasa hairan dengan pendakwaan tersebut walhal beliau tidak memainkan peranan langsung dalam pemberian tender projek solar hibrid kepada Jepak Holdings.

Menurut beliau, kehadiran secara spontan Saidi Abang Samsudin dan Rayyan Radzwill Abdullah ke kediamannya di Langgak Duta pada 7 September 2017 selama lima minit sedangkan mereka tidak tersenarai sebagai tetamu pada hari tersebut, merupakan tindakan yang tidak dirancang.

Ujar Rosmah, Saidi berbohong ketika menyatakan beliau memberikan maklum balas `Hm’ apabila saksi pendakwaan ke-17 itu membawa wang yang dijanjikan dan selebihnya menyusul berdasarkan kemajuan projek.

Dalam keterangannya, Rosmah menafikan beliau mempunyai personaliti yang menonjol dan dominan serta berupaya mempengaruhi Datuk Seri Najib Tun Razak membuat keputusan kerajaan seperti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan melalui rakaman audio perbualan telefon Can I advise you something mengaitkan dirinya.

Ujarnya, jika mempunyai personaliti begitu, tidak mungkin beliau boleh melayari perkahwinan selama 34 tahun bersama bekas Perdana Menteri.

Dalam keterangannya, Rosmah turut menafikan beliau memberikan idea agar satu perjanjian konsultasi disediakan bagi memastikan Jepak Holdings menunaikan janji membayar sumbangan politik selepas berjaya mendapat projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Menurut isteri bekas Perdana Menteri, idea untuk menyediakan perjanjian melobi yang didakwa sebagai satu cara pembayaran kepada beliau sebaliknya dikemukakan oleh seorang ahli perniagaan, Lawrence Tee Kien Moon yang merupakan saksi pendakwaan ke-20.

Ujar Rosmah, bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor berbohong ketika memberi keterangan bahawa beliau (Rosmah) beberapa kali mengingatkannya supaya menyediakan perjanjian untuk mengikat Jepak agar menunaikan janji memberikan sumbangan politik selepas mendapat kontrak daripada Kementerian Pendidikan.

Rizal yang merupakan saksi pendakwaan ke-21 dalam menyatakan supaya Rosmah mencadangkan supaya perjanjian dibuat sambil menyatakan: “Orang belum dapat janji macam-macam, nanti dah dapat lain pula jadinya.”

Bagaimanapun, Rosmah menyatakan keterangan Rizal tidak masuk akal kerana perjanjian konsultasi itu kemudian dibatalkan kerana Jepak telah diberikan projek solar hibrid dan perkara itu membuktikan beliau tiada kena mengena dengan apa-apa kepentingan dalam projek berkenaan.

“Saya tidak pernah tulis walau satu huruf dalam mana-mana kertas bagi membantu Jepak mendapatkan projek itu,” ujarnya.

Dalam pernyataan pembelaannya, Rosmah turut menafikan beliau meminta bantuan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Madinah Mohamed supaya projek solar hibrid itu diberikan kepada Jepak Holdings.

Ujar beliau, jika ingin mendapatkan kepentingan serta bantuan dalam projek solar hibrid itu, beliau boleh meminta terus bantuan suaminya kerana Najib lebih berkuasa meluluskan bayaran-bayaran projek, namun perkara itu tidak berlaku sesuai dengan prinsipnya untuk tidak campur tangan dalam urusan pentadbiran kerajaan.

Rosmah turut menyatakan beliau tidak tahu menahu berkenaan projek solar hibrid mahupun berperanan mendapatkan minit-minit Perdana Menteri, sebaliknya dokumen itu diperoleh oleh Datuk Aazmey Abu Talib.

Mahkamah sedang mendengar keterangan bela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya