Saham Jepun berada pada paras terendah sejak Ogos - Utusan Malaysia

Saham Jepun berada pada paras terendah sejak Ogos

SEORANG lelaki melintasi paparan bursa saham di Jepun yang menunjukkan prestasi negatif kebanyakan pasaran saham di rantau Asia. – AGENSI/GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Purata saham Jepun semalam mencapai tahap terendah dalam tempoh lebih dua bulan di tengah-tengah kebimbangan mengenai kesan krisis hutang China, sementara kelulusan penilaian untuk Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, turut mengecewakan para pelabur.

Purata saham Nikkei menjunam 0.97 peratus kepada 27,551.00, tahap paling rendah sejak 20 Ogos lalu setelah meningkat sebanyak 1.4 peratus pada awal sesi. Manakala, saham Topix turut kehilangan 0.25 peratus kepada 1,942.93 mata.

Ketua Penganalisis Pasaran Ekuiti Tokai Tokyo Research Institute, Seiichi Suzuki berkata, saham Jepun melantun pada awal sesi perdagangan tetapi keuntungannya tidak setinggi yang diharapkan oleh para pelabur dan mendorong mereka menjual saham tersebut.

“Antara yang mendorong penurunan itu adalah kedai pakaian Uniqlo yang kehilangan 2.3 peratus, pelabur teknologi SoftBank Group mencatatkan penurunan sebanyak 1.23 peratus dan pembuat robot Fanuc yang turut merosot 2.22 peratus.

“Tinjauan media tempatan menunjukkan Kishida sedang berjuang untuk memenangi hati pengundi dua hari selepas beliau melancarkan kerajaan baharunya,” katanya.

Bagaimanapun, jelasnya, penilaiannya berada pada paras 45 peratus, jauh lebih rendah berbanding Perdana Menteri yang sebelumnya, Yoshihide Suga, ketika dilantik pada tahun lalu.

Ahli Strategi Kanan Daiwa Securities, Kentaro Hayashi berkata, itu bermakna parti Kishida tidak mungkin akan menikmati kemenangan pada pilihan raya akan datang.

Ujarnya, rancangan Kishida untuk meningkatkan cukai keuntungan modal dapat mendorong penjualan kerana mereka ingin mendapatkan keuntungan sebelum kenaikan cukai.

Lapor Reuters, Kishida dalam sidang akhbar pertamanya sebagai perdana menteri berkata, mengubah kadar cukai pendapatan kewangan negara pada minggu ini akan menjadi antara pilihan untuk mengatasi perbezaan pendapatan dalam kalangan rakyatnya.

Antara kaunter yang paling untung adalah, Sumitomo Osaka Cement yang melonjak sebanyak 13.21 peratus, diikuti dengan Taiheiyo Cement (7.2 peratus) dan Pacific Metals Co. Ltd. (5.39 peratus).

Sementara kaunter yang paling rugi adalah Mitsubishi Motors yang telah menyusut 7.55 peratus, diikuti dengan Takeda Pharmaceutical yang kehilangan 6.25 peratus dan Kawasaki Kisen Kaisha menurun sebanyak 4.48 peratus. -AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN