Sabah mundur, dianak tiri sejak pembentukan Malaysia-Wira Warisan - Utusan Malaysia

Sabah mundur, dianak tiri sejak pembentukan Malaysia-Wira Warisan

Antara jalan kampung di Ranau yang masih belum berturap
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Sekiranya Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipatuhi, Sabah pasti tidak semundur sekarang dan lebih maju berbanding negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.

Itu pandangan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Mohd. Azis Jamman mengenai keadaan pembangunan Sabah yang masih jauh ketinggalan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Mohd. Azis berkata, kerajaan Persekutuan menganak-tirikan Sabah sejak Malaysia mula dibentuk kerana MA63 yang ditandatangani tidak pernah ditunaikan.

 

MOHD. AZIS JAMMAN

Perjanjian itu seharusnya meletakkan kedudukan Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia sebagai rakan sekutu namun, ia tidak dilaksanakan.

Jika ia dipenuhi, seharusnya peruntukan pembangunan untuk Sabah dan Sarawak sama dengan Semenanjung Malaysia.

Misalnya, peruntukan pembangunan RM300 juta maka, RM300 juta itu harus dibahagi sama rata antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia dan bukannya RM300 juta itu dibahagikan sama rata bagi semua negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

 

 

“Begitulah perjanjian yang ditandatangani. Jika kerajaan Persekutuan tidak setuju tentang perkara ini, saya yakin pembentukan Malaysia tidak akan berlaku.

“Dalam MA63 juga termaktub 20 Perkara yang harus dipatuhi kerana ia merupakan hak Sabah dan Sarawak.

“Semasa Pakatan Harapan memerintah, 17 Perkara telah dipersetujui dan masih berbaki empat Perkara termasuk isu royalti minyak dan bayaran tunai petroleum, Akta Laut dan Wilayah 2012 (Akta 750) dan Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83),” katanya.

Ahli Parlimen Sepanggar ini berkata, jika 40 peratus hasil yang dikutip daripada Sabah dikembalikan seperti dinyatakan dalam MA63, sudah pasti Sabah kini sudah jauh lebih membangun.

Justeru itu katanya, semua pemimpin Sabah harus ketepikan ideologi politik masing-masing untuk memastikan tuntutan dalam MA63 dipenuhi.

Katanya, semua pemimpin Sabah perlu sepakat untuk menuntut kerajaan Persekutuan supaya memenuhi hak-hak Sabah seperti terkandung dalam MA63.

Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Sabah dan Sarawak antara enam negeri diberi tumpuan dalam pembangunan.

Pada 23 Oktober lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekali lagi menyatakan pembangunan di negeri-negeri kurang membangun akan terus diberi keutamaan agar kemakmuran ekonomi dapat dinikmati secara adil dan saksama.

Untuk itu, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan perutukan pembangunan asas Persekutuan dalam RMK-12 akan diagihkan kepada enam negeri ini melibatkan penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN