Rosmah menangis beri keterangan di mahkamah - Utusan Malaysia

Rosmah menangis beri keterangan di mahkamah

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini `senyap’ seketika selepas Datin Seri Rosmah Mansor sebak dan menangis sewaktu membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah projek solar hibrid bernilai RM1.25 billion yang dihadapinya.

Suara isteri bekas Perdana Menteri itu bergetar ketika membacakan pernyataan bela diri yang antara lain menyentuh pendakwaan terpilih dan berniat jahat terhadapnya dan keluarga.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan kemudian bertanyakan keadaan beliau dan dijawab oleh Rosmah: “Saya minta maaf Yang Arif, banyak perkara telah saya lalui (I’m sorry Your Honour, I’ve gone through a lot),” sambil mengesap air matanya dengan tisu.

Sebelum itu, Rosmah menyatakan pendakwaan terhadapnya tidak berasas sebaliknya yang perlu diheret ke mahkamah adalah lima pihak lain, namun mereka dipanggil sebagai saksi-saksi pendakwaan.

Mereka terdiri daripada Datuk Seri Mahdzir Khalid, Tan Sri Madinah Mohamed, Datuk Alias Ahmad, Saidi Abang Samsudin dan Datuk Rizal Mansor yang didakwanya terlibat dalam ketidakaturan berkaitan pemberian tender projek solar hibrid kepada Jepak Holdings.

“Pendakwaan memanggil mereka sebagai saksi tanpa didakwa di mahkamah agar mereka bersama-sama menunding jari kepada saya, seorang individu yang tiada jawatan dalam kerajaan dan tiada kuasa meluluskan apa-apa projek sekali pun,” ujarnya.

Dalam pernyataan tersebut, Rosmah turut memberitahu beliau tidak tahu menahu apatah lagi menerima wang rasuah berjumlah RM6.5 juta yang didakwa bertujuan membantu mempercepatkan pemberian projek solar hibrid kepada Jepak Holdings.

Sebanyak RM1.5 juta disimpan dalam dua beg dan dihantar ke kediamannya di Langgak Duta di sini pada 7 September 2017 manakala RM5 juta lagi diletakkan dalam dua buah bagasi dan dibawa ke Seri Perdana pada 20 Disember 2016.

Menurut Rosmah, walaupun wang tersebut dibawa ke kediamannya, beliau menafikan menerima wang itu mahupun membuka beg dan bagasi untuk memastikan isi kandungannya.

Mahkamah sedang mendengar keterangan bela diri Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui Datuk Rizal Mansor, melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya