Polis Selangor keluar 50 kompaun sehari langgar SOP - Utusan Malaysia

Polis Selangor keluar 50 kompaun sehari langgar SOP

ARJUNAIDI MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Polis Selangor mengeluarkan purata 50 hingga 60 kompaun sehari kepada orang ramai yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri itu pada masa ini.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, walaupun orang ramai dibenarkan untuk merentas daerah, pemantauan tetap dijalankan bagi memastikan masyarakat terus mematuhi SOP.

“Kita sekarang ini menumpukan pada pasukan pemantauan untuk mereka menentukan pematuhan masyarakat pada SOP.

“Kita perlu memikirkan untuk tempoh jangka panjang, selepas ini rakyat kena hidup bersama dengan Covid-19, maknanya dalam masa sekarang kita mahu melatih dan memberitahu masyarakat bahawa mereka perlu menjaga diri masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar selepas melancarkan Inisiatif Prihatin Pelajar Yatim Piatu Covid-19 Negeri Selangor di Dewan Utama, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor semalam.

Program tersebut dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Negeri Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Pada program tersebut, sebanyak 29 pelajar daripada 14 buah keluarga yatim piatu menerima sumbangsan dalam bentuk kewangan, bakul makanan dan pemantauan sehingga tamat persekolahan.

Mengenai persediaan polis negeri sebaik kerajaan mengumumkan kebenaran merentas negeri, Arjunaidi memberitahu, pihaknya akan mengatur strategi sebaik sahaja melihat perincian yang diumumkan kelak.

“Kita akan tengok apa pengumuman kerajaan dan dari situ kita akan atur strategi untuk menentukan pematuhan pada SOP,” ujarnya.

Berdasarkan laman web https://covidnow.moh.gov.my/, kadar populasi dewasa lengkap vaksinasi negara mencatatkan 89.1 peratus setakat malam tadi dan peratusan itu merangkumi 20,856,337 individu dewasa lengkap vaksinasi. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN