PUTRAJAYA: Pelawat asing dari beberapa buah negara tertentu dijangka dapat memasuki Malaysia dengan bebas apabila pintu sempadan antarabangsa dibuka dalam masa terdekat.

Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu sedang diperhalusi oleh pihak kerajaan dalam merancakkan kembali kegiatan ekonomi negara.
“Kerajaan sedang menimbang untuk membuka sempadan negara secara selamat dengan membenarkan pelawat asing dari negara tertentu,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Ia susulan kebenaran pergerakan rentas negeri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 3 Oktober lalu dan berkuat kuasa keesokannya harinya.
Kelonggaran sekatan tersebut ekoran kejayaan negara yang telah mencapai kadar 90 peratus daripada populasi dewasa usia 18 tahun ke atas lengkap vaksinasi Covid-19 pada Ahad lalu.
Bagaimanapun kebebasan itu termasuk urusan ke luar negara, hanya untuk individu yang sudah melepasi tempoh minimum tarikh matang setelah lengkap menerima dua dos vaksin.
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, mesyuarat MPN kali keempat itu dimulakan sesi taklimat daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengenai perkembangan terkini Covid-19. –UTUSAN










