KOTA BHARU: Kerajaan Persekutuan setakat ini hanya sempat membelanjakan kira-kira 46.8 peratus daripada RM39 bilion yang diperuntukkan khusus untuk pembangunan asas di seluruh negara sepanjang tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, peruntukan pembangunan asas itu merangkumi pembinaan pelbagai kemudahan seperti sekolah, jalan raya dan hospital.
Kata beliau, peruntukan tersebut tidak dapat digunakan sepenuhnya pada tahun ini kerana kekangan dihadapi di musim Covid-19 serta pelbagai masalah lain yang timbul akibat pandemik tersebut.
“Sekarang sudah memasuki bulan Oktober dan kerajaan setakat ini hanya sempat menggunakan sebanyak 46.8 peratus daripada RM39 bilion yang diperuntukkan bagi tujuan itu untuk tahun ini.
“Selain kekangan Covid-19, peruntukan ini tidak dapat digunakan sepenuhnya kerana masalah-masalah yang timbul di pihak kontraktor seperti kekurangan buruh, kenaikan kos bahan binaan dan hal ehwal hartanah yang tidak selesai.
“Mengambil contoh di Kelantan, projek pembesaran jalan Pasir Puteh – Melor tidak siap mengikut jadual, begitu juga pembinaan Hospital Bachok dan Ibu Pejabat Polis Daerah Jeli yang mengalami kelewatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Libat Urus Pasca Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapa berkata, bagi memastikan kesemua projek pembangunan berjalan lancar, jawatankuasa tindakan negeri yang dipengerusikan Menteri Besar masing-masing perlu menjalankan pemantauan rapi. -UTUSAN ONLINE