KUANTAN: Penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini teruja dapat kembali menjalani kehidupan di kampus setelah hampir setahun belajar di rumah ekoran penularan wabak pandemik Covid-19.
Rata-rata penuntut ditemui tidak sabar untuk belajar dalam suasana lebih kondusif dan secara fizikal kerana lebih banyak ilmu dapat diperolehi berbanding pembelajaran secara dalam talian.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Twong Weng Fung, 22, berkata, dia lebih suka pembelajaran dalam suasana kondusif dan bersemuka di kampus.
“Saya memang tidak sabar untuk kembali ke kampus kerana dapat bertemu rakan-rakan dan para pensyarah yang selama setahun hanya dilihat secara maya.
“Jujurnya saya lebih selesa belajar secara bersemuka kerana akan wujud interaksi yang lebih berkesan dengan pensyarah,” katanya di sini semalam.
Bagi penuntut Ijazah Sarjana Muda Keselamatan, Kesihatan Pekerja, Fatinah Hanis Zamhari, 22, berkata, dia berbangga kerana terpilih untuk kembali ke kampus setelah hampir setahun tidak pulang.
“Saya cukup berbangga dan hari ini (semalam) juga pengalaman pertama saya membuat ujian saringan Covid-19 dan bersyukur keputusannya negatif,” katanya.
Sementara itu, Dekan Perkhidmatan Pelajar Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMP, Profesor Madya Dr. Mansor Sulaiman, pihaknya telah menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar dengan pembabitan semua jabatan di kampus.
“Pihak universiti sentiasa berusaha mewujudkan gelembung kampus bagi memastikan kampus yang selamat dan warga universiti mencapai imuniti kelompok agar penularan Covid-19 dapat dibendung.
“Bagi proses kembali ke kampus ini, setiap pelajar perlu menjalani ujian Covid-19 yang dibantu oleh Pusat Kesihatan Universiti (PKU) dan bagi pelajar yang negatif sahaja dibenarkan masuk ke kampus,” katanya.
Menurutnya, sepanjang di dalam kampus, pergerakan pelajar akan dipantau menerusi aplikasi UMP Trace yang disediakan dalam aplikasi ADAB UMP.
“Kawalan tambahan di residen pelajar juga akan dilaksanakan, sekiranya wujud jumlah kes positif dan kontak rapat melebihi jumlah kapasiti bilik isolasi yang terdapat residen pelajar,” katanya. -UTUSAN ONLINE









