Peniaga restoran labur RM1,000 tadah air - Utusan Malaysia

Peniaga restoran labur RM1,000 tadah air

MOHD. Shahrin Mohd.Tamin (kanan) bersama pekerja di restorannya menadah air mengisi air di Restoran An-Nur Taman Sri Andalas di Klang, Selangor hari ini. - UTUSAN / ABDUL RAZAK IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Peniaga sebuah restoran di Taman Sri Andalas, di sini memberitahu sanggup berbelanja hampir RM1,000 bagi memastikan perniagaannya dapat diteruskan sepanjang gangguan bekalan air yang dijangka berlangsung sehingga Sabtu ini.

Tujuan tadahan itu dibuat untuk memastikan keperluan terhadap operasi perniagaan tidak terganggu termasuk aspek kebersihan kedai selain untuk kegunaan dalam masakan dan minuman.

Perkara itu dikongsikan pemilik Restoran An-Nur, Mohd. Shahrin Mohd.Tamin,43, yang memberitahu, modal itu dibelanjakan bagi membeli dua tong besar, bekalan air mineral serta membaiki tangki simpanan air premisnya supaya gangguan berkenaan tidak menjejaskan perniagaan.

“Selepas pandemik Covid-19, restoran saya baru mula beroperasi. Sekarang, ada masalah gangguan bekalan air berjadual pula.

“Mujur ada 10 hari lebih notis dari Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sebelum air dihentikan perkhidmatan, sekurang-kurangnya inilah persediaan yang kami boleh buat,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) mengumumkan sebanyak 998 kawasan di tujuh wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air berjadual selama empat hari bermula 13 Oktober depan.

Gangguan itu ekoran pelaksanaan kerja-kerja penambahbaikan dan penyenggaraan aset kritikal yang akan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1).

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) memaklumkan, kawasan itu melibatkan wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Bagaimanapun, akhbar ini melaporkan kerja-kerja penyelenggaraan di LRA berkenaan siap kira-kira pukul 8.15 malam tadi iaitu dua jam lebih awal daripada waktu yang dijangka sepatutnya selesai.

Justeru, kerja-kerja penyaluran semula air juga dilaporkan dapat dibuat lebih awal dan pengguna dijangka mula mendapat bekalan pada petang ini secara berperingkat dan penyelesaian keseluruhan dijangka pada Sabtu ini pukul 9.00 malam.

Dalam pada itu, seorang peniaga sebuah warung di daerah ini juga, Aiman Sirago, 41, berharap masalah berkenaan selesai lebih awal dan tiada lanjutan gangguan bekalan air seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun sebelum ini.

“Harap selepas tiga hari, segala masalah gangguan bekalan air berjadual akan berakhir. Kalau siap lebih cepat, lagi baik, sebab jika lambat, maka, kos membeli air semakin meningkat.

“Kami juga bimbang bila kehabisan bekalan tadahan, terpaksa menutup perniagaan sementara sedangkan sekarang ini pun baru dapat bernafas semula sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lagi dilaksanakan,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN