ALOR SETAR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan membina sebuah menara telekomunikasi di Padang Bakong, Kampung Bukit, Pokok Sena di sini bagi meningkatkan capaian internet di kawasan tersebut pada tahun hadapan.
Pengarah SKMM Kedah, Mazlan Othman berkata, projek pembinaan menara telekomunikasi itu akan dibangunkan di bawah projek Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).
Katanya, pembinaan menara tersebut menggunakan teknologi perkongsian pemancar,
Multi Operator Core Network (MOCN) iaitu gabungan empat syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi seperti U Mobile, Celcom, Digi dan Maxis.
“Kami mendapati beberapa kampung di Kampung Bukit menghadapi masalah capaian internet lemah dan ada sesetengah kawasan hanya boleh diakses dari sebuah syarikat penyedia perkhidmatan sahaja,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini hari ini.
Utusan Malaysia 7 Oktober lalu melaporkan lebih 1,000 penduduk di sekitar Kampung Bukit, Pokok Sena di sini merayu Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) membina menara telekomunikasi untuk mengatasi masalah capaian internet yang lemah.
Antara kampung lain yang terlibat iaitu Kampung Pondok Lama, Kampung Padang Bakong, Kampung Rancangan Teratur, Kampung Hulu dan Keda Kampung Bukit.
Penduduk mendakwa golongan pelajar yang tinggal di kawasan itu paling berkesan kerana menghadapi kesukaran mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sejak tahun lalu.
Mazlan memberitahu, pihaknya menjangkakan projek pembinaan menara tersebut dapat disiapkan pada hujung tahun hadapan.
“Kemudahan menara telekomunikasi itu akan dapat memberi kemudahan kepada penduduk mendapatkan capaian internet dengan lebih baik dan lancar,” ujarnya.
Sementara itu, seorang penduduk, Ramli Awang, 45, berkata, penduduk di kampung yang terjejas gembira apabila penantian mereka untuk mendapatkan capaian lebih baik tercapai tidak lama lagi.
“Walaupun akan mengambil masa untuk membina menara berkenaan namun kami bersyukur SKMM akan bina menara bagi liputan internet lebih lancar pada masa akan datang.
“Selepas ini penduduk di sini tidak perlu menghantar anak-anak mereka ke luar kawasan bagi mendapatkan capaian internet untuk mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR),” katanya.
Pelajar Politeknik Tunku Sultanah Bahiyah, Kulim, Sufiyyah Qurratuain Sulaiman, 19, pula berkata, dia selepas ini tidak risau lagi dengan masalah internet yang lemah di kawasan ini selepas ini.
“Pada masa ini, saya sukar mengikuti PdPR kerana capaian internet yang lemah,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE