Penduduk bantah bina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar - Utusan Malaysia

Penduduk bantah bina asrama pekerja asing di Teluk Kumbar

SEBAHAGIAN penduduk Teluk Kumbar, Pulau Pinang mengadakan bantahan aman semalam berhubung cadangan membina tiga projek bangunan asrama yang bakal menempatkan hampir 50,000 pekerja asing di kawasan itu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Penduduk Teluk Kumbar di sini membantah keras cadangan membina tiga projek bangunan asrama yang bakal menempatkan hampir 50,000 pekerja asing di kawasan itu.

Mereka yang mewakili penduduk Kampung Masjid; Kampung Paya; Sungai Batu; Kampung Matahari Naik dan Taman Perda berkumpul secara aman di persimpangan jalan Tingkat Teluk Kumbar di sini mulai pukul 5 petang semalam.

Kesemua mereka melaungkan bantahan dan penolakan cadangan pembinaan itu sambil memegang kad bertulis: ‘Kami merayu agar kerajaan negeri menolak rancangan pembinaan tersebut demi keselesaan dan keharmonian rakyat’; ‘Kami bantah’ dan ‘Kami merayu KN menerima bantahan ini’.

Difahamkan tiga lokasi yang bakal menempatkan asrama pekerja asing tersebut melibatkan Lot 1435 dan 1437 di Bagan Teluk Kumbar; Lot 1859, 1860 dan 1865 di Tingkat Teluk Kumbar serta Lot 239 dan 284, Mukim 11 di Bukit Belah, Sungai Batu.

Seorang wakil penduduk Taman Perda, Safar Said, 49, berkata, penduduk kini semakin berdepan tekanan dan kebimbangan sekiranya projek pembinaan asrama itu dilaksanakan di kawasan perkampungan yang meliputi hampir 30,000 penduduk tempatan.

Menurutnya, lebih menyakinkan mereka berhubung status pelaksanaan projek mega itu apabila semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dijemput menghadiri mesyuarat perbincangan bersama pihak pemaju menerusi atas talian Selasa lalu.

“Kami tidak setuju sama sekali dengan perancangan tersebut yang melibatkan tujuh lot tanah milik persendirian dan syarikat swasta itu.

“Penduduk terutama kariah masjid kini sedang berusaha mengumpul petisyen bantahan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri. Setakat ini, sudah 98 peratus penduduk tidak setuju dengan rancangan tersebut,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Dalam pada itu, seorang lagi wakil penduduk Teluk Kumbar, Hadith Sidik, 53, memberitahu, banyak risiko bakal dihadapi penduduk daripada rancangan itu selain rasa tidak selesa dalam menjalani kehidupan harian.

“Melihat data jumlah kemasukan hampir 50,000 pekerja asing sememangnya perkara paling membimbangkan.

“Sudah semestinya berlaku masalah kepadatan penduduk, kesesakan jalan, masalah sosial dan risiko kesihatan penduduk kampung setelah kemasukan pekerja asing di sini nanti.

“Kami merayu Kerajaan Negeri Pulau Pinang terutama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow membatalkan cadangan tersebut sekali gus mengkaji semula kesesuaian lokasinya yang jauh dari kawasan penduduk tempatan,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik juga memaklumkan yang beliau dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz turut menyatakan bantahan berhubung perkara terbabit.

“Kami akan rujuk perkara ini dengan pihak kerajaan negeri dalam kadar segera kerana wujud banyak implikasi yang perlu dipertimbangkan,” jelasnya. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN