PETALING JAYA : Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan lima unit kenderaan jenis BMW dan Volkswagen yang diterima Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, semalam, hanyalah untuk uji cuba atau ‘Peringkat Pembuktian Konsep’ (POC).
Kata beliau kepada Utusan Malaysia, kenderaan model BMW M3 dan Volkswagen Tiguan itu adalah hanya untuk uji cuba selama dua minggu.
Jelas beliau, keputusan untuk mengguna pakai kenderaan itu belum dimuktamadkan.
“Proses pandu uji itu dilakukan sebelum sebarang keputusan pembelian dimuktamadkan dan kita hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa sebarang perjanjian.
“Tujuannya adalah untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,”katanya di sini hari ini.
Terdahulu, tular gambar lima unit kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen, yang sudah dilengkapi aksesori sebagai kenderaan pasukan polis. -UTUSAN ONLINE