HULU TERENGGANU: Pihak sekolah diminta memastikan aspek pengudaraan di dalam kelas di samping bilik pengajaran dan pembelajaran (PdP) sentiasa dalam keadaan baik sepanjang sesi persekolahan bersemuka yang bermula esok.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, turut perlu diberi perhatian sama ialah kawasan pejabat dan bilik guru.
“Saya berharap pengetua dan guru besar dapat memastikan sesi persekolahan esok berlangsung dalam keadaan teratur dan selamat.
“Ibu bapa atau penjaga juga dimohon agar mengikut ketetapan garis panduan bagi memastikan kelancaran sesi persekolahan, khususnya sewaktu ketibaan dan penyuraian,” katanya dalam hantaran di laman Facebook hari ini.
Terdahulu, Radzi meninjau persiapan akhir pembukaan sesi persekolahan bersemuka di tujuh sekolah di daerah ini iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Telemong; SM Sains Hulu Terengganu; Kolej Tingkatan Enam Hulu Terengganu; SMK Seri Berang; SMK Tengku Ampuan Intan; SMK Tun Indera dan SMK Ajil.
Katanya, secara keseluruhan, pihak sekolah bersedia untuk memulakan sesi persekolahan bersemuka mengikut garis panduan ditetapkan.
Pengoperasian sekolah di negeri ini adalah mengikut ketetapan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN). -UTUSAN ONLINE
.