PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun untuk membahaskan usul mengenai Kertas Pandora.
Presiden PKR itu berharap supaya Azhar Azizan meneliti dan mempertimbang usul tersebut dibincangkan di Parlimen setelah speaker dewan menolak isu tersebut dibawa ke dalam aturan mesyuarat.
“Susulan penolakan usul terkait Pandora Papers semalam, hari ini saya telah mengemukakan rayuan kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat.
“Saya berpendapat bahawa perbahasan mengenai pendedahan Pandora Papers perlu disegerakan.
“Saya berharap rayuan usul ini dapat diteliti dan dipertimbang dengan sesegera mungkin,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Kenyataan itu hadir beserta surat kepala kepada Azhar Azizan bertajuk Pemberitahu Bersurat: Rayuan Usul di Bawah Peraturan Mesyuarat 90 (1) dan 90 (2).
“Usul saya adalah mengenai Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan laporan Kertas Pandora yang mendedahkan kemungkinan transaksi kewangan yang menyalahi undang-undang negara disebut melibatkan beberapa tokoh politik dan ahli perniagaan Malaysia,” katanya dalam surat tersebut.
Semalam, Azhar Azizan menolak usul pembangkang membahaskan mengenai laporan Kertas Pandora atas alasan urusan kerajaan perlu disegerakan selaras di dalam peraturan mesyuarat Dewan Rakyat. Katanya, usul tersebut boleh dirujuk dalam prosedur lain termasuk dibawa ke Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.
Baru-baru ini, heboh berkenaan laporan pendedahan oleh Kertas Pandora yang merupakan pendedahan fail kewangan sulit kepada Pusat Kewartawanan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) seperti yang dilaporkan media tempatan.
Pendedahan itu melibatkan lebih 11.9 juta dokumen rekod lain daripada 14 penyedia perkhidmatan luar pesisir yang menubuhkan dan menguruskan syarikat Shell dan pemegang amanah di tempat perlindungan cukai di seluruh dunia.
Lebih banyak dokumen berkaitan dengan urus niaga luar negara orang kaya Malaysia termasuk Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Zainal Abidin, Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi terdapat di dalam kebocoran daripada penyedia perkhidmatan berkenaan. -UTUSAN ONLINE









