KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima sebanyak 9,323 aduan berhubung salah laku urus niaga perdagangan dalam talian setakat ini.
Menterinya Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, daripada jumlah itu, 8,878 aduan diselesaikan manakala 445 masih dalam siasatan.
Tegas beliau, rekod yang dicatat sejak Januari hingga September tahun ini turut membabitkan sebanyak 5,700 aduan kerana tidak menerima barang ditawarkan.
Selain itu, sebanyak 1,631 aduan pula diterima berkaitan produk diterima tidak sama seperti apa yang ditawarkan.
“Sebanyak 315 aduan membabitkan harga barang atau perkhidmatan mengelirukan, barang tiruan dalam talian (142), cetak rompak dalam talian (30), skim piramid dalam talian (16) serta 1,489 bagi lain-lain aduan,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) meminta kerajaan menjelaskan berapa jumlah aduan yang diterima berhubung salah laku perniagaan atas talian.
Mengulas lanjut, Alexander turut berkata, antara tindakan diambil kementerian adalah menjalankan siasatan terhadap premis perniagaan atau pengendali atas talian “marketplace”.
Selain itu, Kerajaan juga akan bekerjasama rapat dengan dengan kementerian dan agensi seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menghalang akses laman web atau menurunkan kandungan bagi mana-mana sesawang perniagaan tidak beretika.
“Kementerian turut bekerjasama dengan Pembekal Khidmat Internet (ISP) dan syarikat telekomunikasi (telco) bagi mendapatkan maklumat pemilik laman sesawang atau pemilik talian komunikasi yang terbabit dengan penipuan dalam talian,” katanya.- UTUSAN ONLINE