PUTRAJAYA: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mengumumkan paras harga baharu bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian kendiri) pada bulan depan.
Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pihaknya kini sedang membuat penilaian di peringkat industri sebelum menentukan harga siling borong dan runcit baharu bagi kit ujian tersebut.
Beliau berkata, kerajaan juga menerima maklum balas daripada industri berhubung paras harga yang wajar dipertimbangkan supaya dapat menjamin bekalan mencukupi dan berterusan.
“KPDNHEP akan mengeluarkan satu paras harga baharu selepas faktor-faktor di atas diperhalusi dan dimuktamadkan bulan depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Alexander berkata, KPDNHEP juga sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk membolehkan lebih banyak premis menjual kit ujian seperti di pasar raya dan dijangka boleh dilaksanakan pada akhir bulan ini.
Malah, katanya, sudah ada pihak berkenaan bersetuju menjualnya lebih rendah daripada paras harga ditetapkan.
Pada masa ini, katanya, terdapat lebih kurang enam juta kit ujian pantas antigen Covid-19 berada dalam pasaran.
“KPDNHEP akan memantau harga dan persaingan kesan daripada perluasan penjualan kit ujian pantas antigen Covid-19 itu selain daripada farmasi dan klinik,” katanya.
Menurut Alexander, mengambil kira semangat Keluarga Malaysia dan kepentingan kit ujian kendiri kepada masyarakat, KPDNHEP amat menggalakkan supaya peniaga menawarkan harga lebih rendah dan munasabah tanpa kerajaan menentukan paras harga baharu.
Jelas beliau, penetapan harga dilaksanakan kerajaan pada 5 September lalu mengambil kira kos terlibat di dalam membawa masuk dan mengeluarkan kit ujian kendiri tersebut. -UTUSAN ONLINE