PASIR PUTEH: Nelayan Vietnam tidak pernah serik mencuri hasil laut negara apabila 19 lagi individu, termasuk dua remaja berusia 14 dan 17 tahun ditahan pihak berkuasa ketika melakukan kegiatan itu, Selasa lalu.
Mereka ditahan dalam dua operasi berasingan, masing-masing pada pukul 6.45 petang dan 7.09 petang di lokasi 211 kilometer dan 213 kilometer dari Kuala Tok Bali, dekat sini oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah Baharin berkata, dalam Op Kuda Laut dilaksanakan Kapal Maritim (KM) Tok Bali itu, pihaknya turut merampas dua bot dan 500 kilogram ikan pelbagai spesies yang ditangkap secara haram.
Katanya, siasatan lanjut mendapati kesemua nelayan berusia antara 14 hingga 48 tahun tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri dan dipercayai sudah beberapa hari mencuri hasil laut negara.
“Setakat ini, pengecaman kedua-dua remaja berdasarkan paras rupa dan fizikal. Mereka akan dihantar ke hospital untuk pemeriksaan gigi bagi mendapatkan pengesahan usia sebenar sebelum dihantar pulang ke negara asal mengikut proses undang-undang.
“Nilai rampasan termasuk bot, hasil tangkapan ikan, diesel dan peralatan menangkap ikan dianggarkan RM3 juta. Kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16(3) akta sama,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Khairun Dalilah dalam pada itu menambah, tempoh mengiringi kedua-dua bot dari lokasi mereka ditahan ke Jeti Operasi Maritim Malaysia Kelantan di sini mengambil masa lebih 40 jam kerana salah sebuah bot terbabit rosak ketika dalam perjalanan.
Tambahnya, usaha membawa mereka ke jeti turut berdepan halangan cuaca buruk seperti ombak setinggi 2.5 meter, hujan lebat serta tiupan angin kencang mencecah 40 kilometer sejam. -UTUSAN ONLINE