Naik taraf pejabat ketua pembangkang satu pembaziran - Utusan Malaysia

Naik taraf pejabat ketua pembangkang satu pembaziran

MARZUKI YAHYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penarafan pejabat ketua pembangkang sama seperti pejabat menteri hanya satu pembaziran oleh kerajaan kerana ia bukan keutamaan ketika ini.

Walaupun ia salah satu perkara yang dimeterai melalui Perjanjian Persefahaman (MoU) pada 13 September lalu, penarafan itu antara lain mengehadkan peranan pembangkang sebagai badan semak dan imbang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Marzuki Yahya mendakwa, keadaan itu secara jelas menunjukkan negara hanya mempunyai kerajaan tunggal tanpa kehadiran pembangkang.

“Ini satu pembaziran terhadap perbelanjaan kerajaan. Pembangkang sebelum ini berpendirian dan bercakap soal rakyat tetapi akhirnya menjual diri dengan jawatan dan kedudukan melalui perjanjian ini.

“Saya melihat bahawa kerajaan sudah tiada pembangkang. Seharusnya mereka mengambil kepentingan rakyat. Di mana-mana negara demokrasi pun, menjadi kerajaan dan pembangkang itu perkara biasa tetapi kali ini, perjanjian yang ada lebih tertumpu kepada kepentingan politik,” katanya ketika dihubungi semalam.

Pejabat ketua pembangkang kini setaraf pejabat menteri setelah Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerahkan pengesahan tersebut kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.

Dalam (MoU dimeterai kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), menyaksikan kedua-dua pihak mencapai mencapai demi kestabilan politik negara di samping kerajaan menjanjikan beberapa pembaharuan termasuk reformasi Parlimen, Undi18, had jawatan seseorang Perdana Menteri dan kebebasan badan kehakiman.

PH pula akan menyokong atau berkecuali dalam undian Belanjawan 2022, undang-undang perbekalan yang berkaitan dengan syarat penggubalannya dirunding dan dipersetujui secara bersama.

Walau bagaimanapun, Ketua Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil berkata, tidak timbul isu mengenai penarafan berkenaan ‘mengikat’ Anwar menyorot tindakannya yang sentiasa membangkitkan isu-isu besar kepada kerajaan dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat di Parlimen.

Justeru, katanya, pembangkang bertekad untuk terus bersuara terutama melibatkan nasib rakyat, isu integriti dalam jabatan kerajaan dan tidak akan berganjak daripada perjuangan asal sekalipun martabat ketua pembangkang diangkat ke peringkat lebih tinggi.

“Kalau kita lihat kes duluan di negara lain terutama di bawah sistem Westminster di United Kingdom (UK), taraf ketua pembangkang memang diberikan. Ia bukan setakat kedudukan itu setaraf malah lebih daripada itu.

“Di negara luar, ada satu sesi dinamakan Prime Ministers Questions Time (PMQT) yang membolehkan pembangkang dan perdana menteri saling bertanya dan menjawab soalan. Ini bagi saya dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pembangkang dan perdana menteri salingh semak dan imbang,” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Parti Penaja Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula berkata, institusi pembangkang perlu diangkat bagi memperkasakan fungsi semak dan imbang.

Menyorot usahanya semasa menerajui Kementerian Belia dan Sukan, katanya, beliau telah menggerakkan undi 18 tahun melalui usaha merentasi parti kerajaan dan pembangkang.

“Peranan ketua pembangkang mesti diangkat. Berikan peruntukan yangs ama dan adil ke semua kawasan Parlimen. Perkasakan juga JawatanKuasa Khas Parlimen dan libatkan lebih ramai pembangkang dalam aspek penggubalan dasar negara,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN