GEORGETOWN: Penduduk flat di taman perumahan, Bukit Gedung di sini bimbang dengan keselamatan dan harta-benda mereka berikutan sering menjadi ancaman kumpulan monyet liar di kawasan itu.
Pengerusi Persatuan Penduduk Flat (Jenis R) Bukit Gedung, Mohd. Farook Hassan Ali berkata, penghuni di Blok 8 dan 10 perumahan itu khususnya semakin berdepan ancaman haiwan liar terbabit di kediaman mereka.
Menurutnya, masalah tersebut turut mendatangkan kerisauan dalam kalangan penduduk terutama berhubung aspek keselamatan kanak-kanak apabila berada di luar rumah.
Jelasnya, masalah monyet liar itu sering berlaku sebelum ini namun semakin serius serta lebih kerap dengan kehadiran lebih ramai kawanan monyet liar sejak kebelakangan ini.
“Sehubungan itu, kami merayu Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) membantu menyelesaikan masalah ancaman monyet yang menghantui penduduk flat ketika ini.
“Penduduk kini kembali berasa tidak selesa dengan kehadiran jumlah monyet yang semakin banyak. Kami bimbang sekiranya berlaku kejadian tidak diingini terutama serangan monyet terhadap kanak-kanak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Dalam pada itu, video sekumpulan monyet sedang bermaharajalela di pekarangan rumah penduduk termasuk di koridor sebuah blok di flat Bukit Gedung turut tular di dalam media sosial sejak semalam.
Video berdurasi 20 saat itu dipercayai dirakam penghuni kediaman flat lima tingkat itu yang terletak berhampiran bukit di situ.
Difahamkan, haiwan liar tersebut bukan sahaja berkeliaran di luar kawasan perumahan tersebut malah dikatakan pernah memasuki kediaman penghuni melalui bahagian belakang dapur. -UTUSAN ONLINE