Lockdown halang aktiviti pemujaan di Pulau Nangka - Utusan Malaysia

Lockdown halang aktiviti pemujaan di Pulau Nangka

CHE SUKRI CHE MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 10 kali pemantauan sehingga Ogos tahun ini telah dilaksana Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mengekang perbuatan khurafat di pulau-pulau di Melaka, termasuk Pulau Nangka yang sering dikaitkan dengan harta karun bernilai trilion ringgit.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarahnya, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, sekatan pergerakan penuh (total lockdown) yang dikuatkuasakan kerajaan bagi mengekang pandemik Covid-19 turut berjaya menghalang aktiviti pencerobohan di lokasi-lokasi panas sedemikian.

Menurut beliau, kekangan itu menyebabkan pihak tidak bertanggungjawab tidak lagi dapat pergi ke kawasan tumpuan ritual pemujaan seperti Pulau Nangka, Pulau Besar dan Kubur Tok Machap.

Jelasnya, pihaknya juga tidak mengesan sebarang perbuatan khurafat seperti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan tahu ini.

“Ramai yang bertanya adakah amalan khurafat semakin berleluasa semasa PKP disebabkan ekonomi rakyat terjejas. Sebenarnya, JAIM telah bertindak lebih awal dengan melakukan 10 operasi pemantauan sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini melibatkan lokasi Pulau Besar dan Pulau Nangka. 

“Hasil operasi mendapati tidak terdapat kesan dan bukti berlakunya aktiviti khurafat dan pemujaan yang melibatkan orang Islam,” katanya ketika ditemui.

Semalam, akhbar ini melaporkan, harta karun di Pulau Nangka didakwa bukan cerita dongeng, malah pulau kecil itu dikatakan pernah menjadi kawasan perbendaharaan ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka yang dianggarkan bernilai trilion ringgit.

Pengerusi Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong (Pesawad), Khalid Hussin berkata, banyak pihak sebelum ini menunjukkan minat dan cuba untuk membawa keluar harta berkenaan, namun tidak berjaya.

Jelasnya, perbuatan itu hanya akan membawa padah, malah, ada yang mendakwa terdapat kes individu maut selepas membawa pulang syiling lama dari sebuah gua di situ. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN