PUTRAJAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memperuntukkan dana lebih RM17 juta bagi menjayakan projek genome surveillance virus SARS-CoV-2 dan konsortium merangkumi tujuh makmal berkaitan vaksin tempatan termasuk Covid-19.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia merupakan sokongan pembiayaan dalam meningkatkan ekosistem penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan vaksin tempatan yang kondusif serta berdaya saing.
Projek pertama katanya, sebanyak RM3,227,200 diperuntukan di bawah Dana Penyelidikan Strategik untuk membiayai projek genome surveillance virus SARS-CoV-2 yang merupakan virus penyebab penyakit Covid-19 yang dijangka menjujuk 3,000 genom virus SARS-CoV-2.
Katanya, ia amat penting dan strategik untuk mengenal pasti dan memantau varian virus SARS-CoV-2 terutamanya Varian Membimbangkan (VOC) seperti varian Delta serta varian perlu diwaspada (VOI) seperti varian Lambda dan Mu.
“Selain itu, projek kedua melibatkan tambahan dana sebanyak RM13.9 juta kepada konsortium merangkumi tujuh makmal di bawah MOSTI, Kementerian Kesihatan dan Institusi-institusi Pengajian Tinggi, di bawah Kementerian Pengajian Tinggi.
“Konsortium ini berperanan untuk memudah cara kerjasama dan menjana hasil-hasil penyelidikan dalam bidang penyakit berjangkit virus SARS-CoV-2, seterusnya memangkinkan pembangunan vaksin tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Adham berkata, makmal-makmal yang terlibat adalah Malaysia Genome Institute (MGI), MOSTI; Institute for Medical Research (IMR), Kementerian Kesihatan; UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI); Tropical and Infectious Diseases Research Centre (TIDREC) di Universiti Malaya; Jabatan Mikrobiologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya; Institute iPROMISE Universiti Teknologi Mara dan Institute of Health and Community Medicine dari UNIMAS.
Melalui program ini, katanya, kapasiti ujian berjaya ditingkatkan sebanyak lima kali ganda, dengan jumlah ujian bagi ketujuh-tujuh makmal tersebut melebihi 1,000 ujian genom sebulan (berbanding dengan 200 sebulan sebelum ini).
Katanya, susulan sokongan dana dari MOSTI ini, dijangka sebanyak 10,000 penjujukan tambahan genom virus SARS-CoV-2 akan dapat dicapai.
“Sehingga semalam, sejumlah 1,312 sampel telah dianalisis oleh konsortium berkenaan dan ini telah meningkatkan jumlah genom yang telah dimuat naik ke GISAID kepada 3,009.
“Sebanyak 1,246 sampel atau 94.9 peratus dikenal pasti sebagai varian jenis delta, 11 sampel adalah varian beta dan 55 dari varian yang lain dan sampel- sampel ini dipilih KKM dan diambil dari kesemua negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, varian delta ini diketahui lebih berbahaya dengan kadar infektiviti lebih tinggi dan boleh menyebabkan timbulnya kluster baharu tempatan dengan pantas.
Oleh itu, katanya, mereka yang belum divaksin juga berisiko tinggi untuk mudah mendapat varian delta, justeru vaksinasi adalah perlindungan terbaik melawan varian tersebut.
Sehingga kini, katanya, tiada varian Mu di kesan daripada sampel-sampel di Malaysia, namun Konsortium tersebut akan terus memantau penularan varian virus SARS-CoV-2 di Malaysia.
Mengulas lanjut, Adham berkata, maklumat tentang varian dan penularan varian adalah penting untuk kerajaan mengambil tindakan wajar dan khusus untuk membendung dan mengawal penularan varian-varian yang amat berbahaya, serta menggiatkan lagi program pembangunan vaksin tempatan. -UTUSAN ONLINE