Khairy buat lawatan mengejut ke HTJ - Utusan Malaysia

Khairy buat lawatan mengejut ke HTJ

GAMBAR tular Khairy ketika mengadakan lawatan mengejut ke HTJ di Seremban hari ini.-MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: SELEPAS membuat lawatan mengejut ke Hospital Kajang, Selangor baru-baru ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sekali lagi melakukan perkara yang sama di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini hari ini.

Lawatan itu dibuat Ahli Parlimen Rembau itu selepas beliau menghadiri satu majlis di Pusat Perubatan Mawar di sini yang terletak berhampiran dengan HTJ.

Gambar lawatan mengejut beliau itu turut tular di media sosial dan mendapat reaksi positif warganet.

“Tugas demi rakyat, terbaik YB, harap diteruskan usaha begini, teruskan lawatan mengejut sebegini, ini lawatan formal, semua sudah tersedia,” kata pengguna Facebook, Sheizan Ishak.

“Terbaik YB, tiada protokol, sangat sempoi, barulah dikatakan wakil rakyat,” kata seorang lagi warganet, Dhirul Qidhir.

Utusan Malaysia difahamkan lawatan mengejut itu kira-kira 45 minit dan Khairy sempat untuk melawat unit kecemasan, bahagian wad serta bertemu petugas hospital seperti jururawat dan doktor termasuk doktor kontrak selain orang awam yang mendapatkan rawatan.

Sebelum lawatan mengejut tersebut, Khairy telah merasmikan Hari Sukan Negara (HSN) 2021 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi di sini.

Ia diikuti dengan majlis perasmian Wad Kanak-kanak, melancarkan mesin imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan melancarkan Pensijilan ISO 9001: 2015 di Pusat Perubatan Mawar di sini. -UTUSAN ONLINE

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN