Kes Adib: Syor, cadangan Jawatankuasa Khas menjurus langkah seterusnya - Utusan Malaysia

Kes Adib: Syor, cadangan Jawatankuasa Khas menjurus langkah seterusnya

REEZAL Merican Naina Merican (tiga, kanan) bergambar kenangan selepas melawat Projek Impiana Sky Residensi, Bukit Jalil di sini, hari ini. -UTUSAN/ FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Syor dan cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas kes kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim dijangka menjurus kepada langkah yang bakal diambil selepas ini terutamanya berkaitan penangkapan suspek kes tersebut. 

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan,  Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memaklumkan, berdasarkan perbincangan bersama Jawatankuasa Khas itu, terdapat syor dan beberapa cadangan untuk melihat dari segi semua aspek kes berkenaan. 

Bagaimanapun katanya, segala perincian aspek dan hasil perbincangan Jawatankuasa Khas itu akan dimaklumkan oleh pengerusinya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri  (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Yang penting adalah kita tidak menoktahkan proses keadilan untuk Muhammad Adib sama ada suka atau sebaliknya. 

“Namun, jika boleh kita mahu melakukan secara menyeluruh mungkin, maka dapatan terakhir bergantung kepada apa yang dilakukan daripada syor-syor tersebut. 

“Perinciannya nanti akan dimaklumkan oleh Wan Junaidi mengikut prosedur (bahawa) laporan dan dapatan mesyuarat itu dilaporkan oleh pengerusi, tetapi saya boleh sahkan ada perjumpaan (bersama Jawatankuasa Khas itu),” katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian dalam sesi walkabout ke projek di bawah Skim Perumahan Mampu Milik Swasta (MyHome) di Impiana Sky Residensi, Bukit Jalil hari ini.

Sabtu lepas, kerajaan memutuskan untuk mewujudkan satu Jawatankuasa Khas  bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Muhammad Adib.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jawatan kuasa itu akan dipengerusikan Wan Junaidi dan turut  dianggotai Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Menteri  Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Untuk rekod, Muhammad Adib meninggal dunia pada 17 Disember 2018 di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman, di Subang Jaya pada 27 November 2018. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN